Gaji, upah rendah perlu dikaji semula

Iklan
Jenayah rasuah di negara ini boleh ditangani apabila soal pokok berkaitan gaji dan upah rakyat ditingkatkan. Gambar hiasan -Foto 123rf

JOHOR BAHRU - Jenayah rasuah di negara ini boleh ditangani apabila soal pokok berkaitan gaji dan upah rakyat ditingkatkan.

Ketua Biro Aduan MCA Johor, Micheal Tay berkata, isu rasuah tidak dapat dihapuskan dalam sekelip mata, namun beliau percaya terdapat pelbagai pendekatan yang boleh diambil untuk mengurangkan gejala rasuah dalam masyarakat sebelum ia menjadi bertambah parah.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, rasuah juga tidak mengenal masa dan siapa termasuk golongan berpendidikan tinggi, kakitangan awam serta pemimpin negara.

"Pendedahan isu rasuah yang dilaporkan media termasuk surat khabar menunjukkan si pelaku rasuah daripada pelbagai latar belakang sama ada golongan profesional, pekerja di sektor awam dan swasta serta pemimpin.

Iklan

"Namun, saya tertarik untuk mengetengahkan isu berkenaan gaji dan upah yang mana pada pandangan saya, ia salah satu faktor membuka ruang kepada perbuatan menerima dan memberi rasuah,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Beliau berkata, tanpa mengira sektor kerajaan atau swasta, tidak dinafikan gaji dan upah yang rendah tidak selari dengan keperluan pada masa kini yang menyaksikan serba-serbi menggunakan wang.

Iklan

Selain itu, katanya, gaya hidup yang terlalu menunjuk-nunjuk dan tidak mahu kalah meskipun tidak sepadan dengan pendapatan rendah yang diterima turut menjadi punca perbuatan rasuah terus berleluasa.

"Saya berpandangan gaji rendah tetapi gaya hidup ‘mewah’ antara punca rasuah berlaku dalam kalangan pekerja yang berpendapatan rendah.

"Jika gaji diperoleh RM5,000 sebulan tetapi gaya hidup macam orang bergaji RM10,000 pastinya tidak cukup. Jadi kemungkinan mereka ini akan terlibat rasuah jika terdapat ruang dan peluang untuk mereka lakukan,” katanya.

Katanya, isu gaji dan upah rendah perlu diberi perhatian semua pihak termasuk kerajaan sendiri.

"Mereka perlukan rumah, kereta dan sebagainya yang pastinya bukan sesuatu yang murah lagi-lagi di bandar besar seperti Johor Bahru.

"Namun saya yakin, jika gaji dan upah ditingkatkan, ia dapat mengurangkan kadar rasuah seterusnya menghapuskan stigma pemikiran gaji rendah punca berlakunya rasuah,” katanya.

Bagaimanapun, Micheal Tay berkata, sikap masyarakat memerangi gejala rasuah perlu dipertingkatkan dengan kesedaran bermula dari rumah.