SHAH ALAM - Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyeluruh yang menuntut hampir semua sektor ekonomi ditutup mungkin opsyen yang tidak dapat dielakkan sekiranya situasi semasa pandemik Covid-19 dilihat semakin mengancam nyawa rakyat.
Menurut Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Islam, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, nyawa dan kesihatan rakyat adalah lebih utama berbanding ekonomi namun pelaksanaan PKP menyeluruh tersebut harus mengambil kira nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai pihak yang arif menilai situasi pandemik Covid-19 di negara ini.
"Soal negara bersedia atau tidak adalah tidak relevan kerana faktor kesihatan perlu diutamakan melebihi daripada ekonomi," ujar Mohd Afzanizam kepada Sinar Harian pada Ahad.
Tegas beliau, sekiranya situasi semasa Covid-19 boleh mendatangkan mudarat seperti kehilangan nyawa dalam skala yang besar maka keputusan yang sesuai perlu diambil berdasarkan pilihan yang ada atas nasihat KKM.
Namun, beliau tidak menolak kenyataan apabila sesuatu keputusan dibuat pasti akan wujud trade off atau kesan daripada keputusan yang diambil.
"Sekiranya total lockdown dilaksanakan maka kegiatan ekonomi bakal terencat sepertimana yang kita alami pada tahun lalu.
"Terencat dalam erti kata, pergerakan manusia yang sangat terhad dan operasi perniagaan yang tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP)
yang ketat yang mana ia boleh meningkatkan kos operasi serta menjejaskan produktiviti," katanya lagi.
Ditanya sekiranya ekonomi negara bakal menanggung kerugian lebih besar sekiranya PKP menyeluruh dilaksanakan untuk kali kedua, Mohd Afzanizam berkata, ia bergantung kepada tempoh PKP menyeluruh itu.
"Ketika PKP 1.0, ekonomi merudum sebanyak 17.1 peratus pada suku kedua 2020 dan untuk kali ini sama ada teruk atau sebaliknya bergantung kepada durasi PKP menyeluruh tersebut," katanya lagi.
Untuk rekod, Malaysia berdepan kerugian sebanyak RM2.4 bilion setiap hari sepanjang pelaksanaan PKP kali pertama.