Sungai UIAM dipenuhi lumpur, alam tercemar lagi

Iklan
Kerja tanah yang dijalankan disalah satu kawasan di Sungai Pusu.

GOMBAK - [LAPORAN KHAS] Aktiviti penerokaan tanah yang berleluasa di Sungai Pusu menyebabkan sungai yang mengalir di dalam kampus Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak dekat sini tercemar apabila airnya menjadi cetek dan dipenuhi lumpur.

Mendapan lumpur yang dibawa ketika hujan itu juga menyumbang kepada masalah banjir kilat sehingga menenggelamkan kenderaan kakitangan serta pelajar universiti berkenaan.

Iklan
Iklan

Pejabat Komunikasi, Advokasi dan Promosi UIAM dalam satu kenyataan berkata, kerja penerokaan tanah itu telah menyebabkan aliran dari Sungai Pusu dan Sungai Batang Pusu mengalir secara terus ke dalam kawasan kampus dengan membawa lumpur dan kekotoran.

"Disebabkan aktiviti projek berkenaan, UIAM menjadi mangsa dan terpaksa menanggung kesan dan akibatnya.

Iklan

"Aliran sungai kini dipenuhi dengan lumpur dan akan menjadi bertambah teruk apabila berlaku hujan lebat sehingga boleh mengundang kejadian banjir kilat,” menurut kenyataan itu.

Katanya, sebagai langkah pemulihan dan proaktif, UIAM telah bertindak melantik kontraktor untuk membersihkan dan mengawal pencemaran sungai daripada terus berlaku di dalam kampus.

Iklan

Korek pasir

Selain itu, kerakusan kerja pengorekan pasir di kawasan yang terletak beberapa meter dari universiti tersebut serta bersebelahan Taman Villa Bestari pula telah menimbusi dan menutupi sebuah tasik terbiar di situ.

Keadaan tersebut telah mencetuskan kebimbangan penduduk mengenai aliran air dari tasik yang terkambus itu berkemungkinan menyebabkan pergerakan air bawah tanah.

Difahamkan, perkara tersebut telah dibangkitkan kepada Majlis Perbandaran Selayang (MPS) selain agensi kerajaan berkaitan, namun aktiviti tersebut yang bermula sejak lebih dua tahun lalu masih berlarutan sehingga kini.

Pengerusi Surau Al Abqari Taman Villa Bestari, Sofian Shafie menjelaskan, penduduk bukan bersikap antipembangunan namun mahu setiap kerja tanah yang dijalankan mengikut lunas undang-undang.

"Apabila projek semakin dekat dengan rumah penduduk, kami mula bimbang. Malangnya, tidak ada pihak yang tampil memberi penerangan mengenai projek terbabit manakala kawasan perumahan dan longkang penuh selut setiap kali hujan,” katanya.

Justeru, beliau berharap kerajaan dapat memantau pembangunan dengan memastikan ia selari dengan konsep pembangunan mapan.

"Penduduk telah beberapa kali mengemukakan aduan secara rasmi kepada MPS berhubung pembangunan dan kerja tanah serta aduan berkaitan namun tiada penyelesaian.

"Bila kita buat aduan, operator tapak diarahkan menghentikan kerja, tapi tiada tindakan susulan. Ini menyebabkan projek itu disambung semula beberapa bulan kemudian.

"Kami hanya mahu diberikan penerangan dan jaminan keselamatan kerana apabila berlaku masalah kemudian hari, ada pihak yang akan bertanggungjawab,” katanya.

Aduan dipandang sepi

Isu penerokaan tanah di Sungai Pusu, Gombak bukanlah perkara baharu.

Malah, isu tersebut pernah cuba dibanteras oleh Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sewaktu menyandang jawatan Menteri Besar Selangor sebelum ini.

Namun, sehingga kini isu tersebut masih menghantui penduduk meskipun pemantauan dan penguatkuasaan telah dilakukan oleh MPS serta Pejabat Daerah dan Tanah Gombak.

Penduduk menunjukkan aktiviti penambakan tanah bersebelahan Villa Bestari.

Masalah seumpama itu yang kerap berulang membuatkan penduduk buntu dan seperti sudah putus asa untuk bersuara apabila bantahan serta aduan mereka dipandang sepi.

Penduduk mendakwa, kegiatan tersebut masih aktif disebabkan aktiviti-aktiviti itu banyak didalangi oleh ‘penjaga’ yang sudah memasang mata-mata selain menggunakan ugutan untuk menakut-nakutkan penduduk yang cuba mengganggu operasi mereka.

Dakwaan tersebut diperkukuhkan hasil perkongsian pengalaman seorang penduduk yang mengatakan dia pernah diugut selain dipukul ketika cuba membangkitkan isu berkaitan kerja tanah yang mengancam penduduk setempat.

Malah, senario ini menyebabkan penduduk yang ditemui Sinar Harian enggan mendedahkan identiti mereka kerana bimbang nyawa diancam.