Diorama tanah kubur jadi pilihan cenderamata

Iklan
Gambar diorama tanah kubur yang dikongsi pelanggan menerusi Facebook Mohd Ihsan. - FOTO MOHD YUSRI MUDA

KUALA TERENGGANU – Seorang peminat seni diorama tidak menyangka model binaan kecil tanah perkuburan yang dihasilkan mendapat sambutan menggalakkan dan menjadi pilihan untuk dijadikan sebagai cenderamata.

Mohd Ihsan Mohd Saidi, 35, berkata, setakat ini lebih 150 replika tanah perkuburan telah terjual sejak lima bulan lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, beliau mendapat idea untuk membuat rekaan itu kerana proses pembuatan lebih mudah dan cepat berbanding replika rumah tradisional.

"Tempoh pembuatan diorama kubur hanya mengambil masa kira-kira tiga jam. Misalnya saya mula buat sebelah pagi pada sebelah petang saya sudah boleh pos kepada pelanggan.

Iklan

"Berbeza dengan proses pembuatan rumah tradisional ia lazimnya mengambil masa selama seminggu untuk disiapkan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Mohd Ihsan yang bertugas sebagai pembantu operasi di Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Terengganu di Chendering di sini berkata, diorama tanah perkuburan yang dihasilkan mempunyai empat model berbeza dari segi saiz serta rekaan dan dijual pada harga RM35 hingga RM75 termasuk pos.

Iklan

Beliau berkata, antara bahan diperlukan bagi menghasilkan sesebuah diorama kubur ialah gabus, plaster, rumput sintetik, pokok, bahan polyvinyl chloride (PVC), kain dan bekas plastik.

Katanya, walaupun keuntungan yang diterima agak kecil iaitu antara RM10 hingga RM15, baginya sudah memadai sebagai pendapatan sampingan selain dapat memenuhi hobi pada masa lapang.

"Sebelum ini, saya hanya fokus terhadap pembuatan replika rumah kampung. Tak sangka pula diorama tanah perkuburan yang menyerlahkan suasana liang lahad, van jenazah serta pokok mempunyai ramai peminat," katanya.

Ditanya tempahan diterima musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 di Terengganu, Mohd Ihsan berkata, tempahan masih ada walaupun agak perlahan.

Katanya, tempoh PKP juga memberikan beliau lebih masa untuk memberi fokus terhadap hobinya selain menyiapkan tempahan pelanggan.

"Diorama kubur sebenarnya masih lagi asing di Malaysia dan walaupun ada yang dihasilkan dalam kalangan peminat seni ini, ia hanya untuk koleksi peribadi dan bukan untuk jualan," katanya.

Dalam pada itu, menurutnya, beliau telah mendapatkan pandangan golongan agamawan sebelum memasarkan diorama berkenaan.

"Saya difahamkan penjualan model binaan kubur ini tidak salah kerana sekurang-kurangnya ia dapat mengingatkan umat Islam mengenai kematian.

"Namun, saya diminta untuk tidak meletakkan sebarang objek berbentuk patung dan menjadikan kain sebagai simbolik jenazah,” katanya.

Diorama kubur hasil seni Mohd Ihsan turut dijual di platform Shopee sejak sebulan lalu.

Mereka yang berminat menempah boleh menghubungi talian 013-7146510 atau melayari Youtube, Sam Diorama Channel untuk maklumat lanjut.