PJ City FC tekad lebih garang
KELAB Petaling Jaya FC (PJ City FC) mahu membuktikan mereka mampu muncul selaku pencabar dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2021 biarpun tampil tanpa kelibat pemain import.
Pengendali PJ City FC, P Maniam berkata, peluang kini terletak di tangan anak-anak tempatan untuk menampilkan kemampuan sebenar mereka yang sebelum ini 'terselindung' dengan kehadiran awang import.
"Pihak pengurusan pasukan membuat keputusan untuk tidak menggunakan pemain import musim ini kerana mahu membuktikan pemain tempatan juga memiliki kualiti tersendiri.
"Sebagai contoh, sebelum ini jentera serangan pasukan lebih dikuasai penyerang import, tetapi kali ini kita berikan peluang itu kepada pemain tempatan yang kita rasa tidak kurang hebatnya.
"Ini bakal memberikan mereka lebih minit beraksi, menjaringkan gol dan seterusnya membuka peluang untuk mereka beraksi dengan pasukan kebangsaan,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Skuad yang terkenal dengan gelaran The Phoenix itu telah melengkapkan senarai 22 pemain musim ini yang dibarisi dengan pelbagai kaum.
Maniam turut menegaskan, beliau secara peribadi tidak meletakkan sebarang sasaran khusus bagi mengelakkan anak-anak buahnya berasa tertekan.
"Ya benar kali ini kita ada pemain daripada berbilang bangsa dan senario ini sama seperti suatu ketika dahulu di mana kita semua boleh bermain bersama-sama dalam satu pasukan.
"Sebab itu kita tidak letakkan sasaran lima terbaik, tiga terbaik dan sebagainya. Ini kerana kita mahu semua pemain memberikan fokus kepada permainan dan secara tidak langsung dapat membantu meningkatkan prestasi pasukan,” ujarnya.