NUTP cadang jadual, keberadaan pelajar dalam kelas, PdPR diselaras

Iklan

KUALA LUMPUR - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) mencadangkan agar jadual keberadaan pelajar di dalam kelas dan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) diselaraskan di semua sekolah seluruh negara.

Setiausaha Agungnya, Harry Tan Huat Hock berkata, pelaksanaan itu penting bagi mengelak guru dan pelajar hilang fokus serta tenaga akibat sesi yang terlalu lama selain menjamin kualiti PdP.

Iklan
Iklan

"Pihak NUTP mendapati ada sekolah yang memaksa guru untuk mengajar dari jam 7.30 pagi hingga 4.30 petang yang melebihi waktu rasmi sesi pembelajaran tamat iaitu jam 2.30 petang.

"Masa yang terlalu lama di sekolah akan melemahkan semangat serta minat pelajar untuk membuat persediaan bagi menghadapi SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) dan STPM (Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia) kelak, begitu juga dengan guru yang telah bertungkus-lumus menyedia dan mengajar secara PdPR sebelum ini,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Iklan

Tambahnya, daya tahan kesihatan guru dan pelajar juga dikhuatiri terjejas kerana berada di dalam kelas dalam tempoh lama tanpa melakukan aktiviti riadah yang dapat menguatkan ketahanan dan imunisasi badan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sementara itu, Harry Tan juga meminta agar Kementerian Pendidikan (KPM) mengkaji semula aspek keselamatan guru yang mengajar pelajar calon peperiksaan utama seperti SPM dan STPM yang menjalani sesi persekolahan secara bersemuka.

Iklan

Katanya, KPM juga perlu menyediakan peralatan perlindungan diri (PPE) seperti pelitup muka dan baju ‘overcoat’, mengikut prosedur operasi standard ditetapkan agar keselamatan dan kesihatan guru lebih terjamin.

Tan juga meminta pihak berkaitan lebih peka dengan situasi Covid-19 dan tidak menganjurkan sebarang aktiviti yang boleh mengundang risiko jangkitan. - Bernama