KUANTAN - Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan dari parti politik yang memohon masuk ke Pahang untuk bantuan pasca banjir diarah berpatah balik kerana gagal mendaftar dalam sistem e-banjir seperti ditetapkan.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, ada kumpulan NGO terpaksa bermalam di sekatan jalan raya (SJR) di pintu masuk sempadan negeri sementara menunggu untuk mendaftar dalam sistem itu pada hari berikutnya.
Menurutnya, ada juga kumpulan sukarelawan yang membawa barang bantuan dinasihatkan meninggalkan barangan itu di SJR untuk diserahkan kepada pihak berkenaan di negeri itu untuk disalurkan kepada para penerima.
"Selain surat kebenaran polis untuk rentas negeri, mana-mana NGO yang memohon masuk untuk bantuan pasca banjir di negeri ini perlu mendaftar dan mendapat kelulusan melalui sistem e-banjir tersebut selain perlu merujuk kepada Pusat Kawalan Bencana (PKOB) negeri atau daerah.
"Sekiranya mereka gagal mematuhinya, pihak polis tidak akan membenarkan mereka masuk dan akan diarah berpatah balik,"katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini pada Isnin.
Dalam perkembangan lain, Abd Jalil berkata, pihaknya mengenalpasti 13 laluan tikus di sempadan Pahang yang akan dipantau 24 jam sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 ini.
Beliau berkata, anggota Unit Kereta Peronda (MPV) dibantu anggota dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan membuat rondaan dan pemeriksaan secara 'snap check' terhadap pengguna laluan itu.
"Kawalan lebih ketat akan dilakukan di pintu masuk sempadan termasuk laluan tikus yang kebanyakannya jalan-jalan dalam kawasan ladang kelapa sawit bagi menghalang ada pihak cuba masuk atau keluar tanpa kebenaran," katanya.
Beliau berkata, pemantauan Ops Covid-19 dalam tempoh 24 jam di negeri ini pada Ahad, sebanyak 1,797 pemantauan dibuat di sekatan jalan ràya, premis dan tempat-tempat awam.
"Hasilnya seramai 19 individu dan lima premis dikompaun kerana gagal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan. Untuk tempoh 24 jam semalam, sebanyak 34 sekatan jalan raya dilakukan melibatkan 665 petugas," katanya.
Abd Jalil berkata, Polis Pahang menerima 2,348 permohonan rentas negeri dan dari jumlah itu, 2,263 permohonan diluluskan manakala sebanyak 85 permohonan ditolak.