90 peratus industri pembuatan sarung tangan patuhi SOP

Iklan
Gambar hiasan - Foto 123RF

SEPANG - Hampir 90 peratus majikan dalam industri pembuatan sarung tangan mematuhi perundangan keselamatan dan kesihatan pekerja serta mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan bagi mengekang penularan Covid-19.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Awang Hashim berkata, berdasarkan Operasi Glove yang dilaksanakan sejak 18 Januari hingga hari ini di seluruh negara, hanya enam daripada 105 syarikat yang diperiksa mempunyai tahap pematuhan yang kurang memuaskan.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) telah mengeluarkan 16 notis penambahbaikan terhadap majikan kerana tidak mematuhi kehendak perundangan berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

"Kita akan pantau syarikat yang tidak mematuhi perundangan keselamatan dan kesihatan pekerjaan ini," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan operasi pematuhan SOP pencegahan Covid-19 di kilang pembuat sarung tangan WRP Asia Pacific Sdn Bhd di sini pada Isnin.

Iklan

Majikan yang gagal mematuhi notis yang dikeluarkan akan dikenakan tindakan mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) yang memperuntukkan penalti maksimum sebanyak RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali, katanya.

Awang berkata, Operasi Glove itu akan dijalankan secara berterusan khusus untuk memastikan pemain industri terutamanya pengeluar sarung tangan mematuhi undang-undang ditetapkan seterusnya menjamin kesinambungan produktiviti industri tersebut.

Iklan

"JKKP memberi fokus kepada industri yang mempunyai bilangan pekerja yang ramai dan mempunyai risiko jangkitan yang tinggi Covid-19," katanya.

Mengulas peningkatan kluster tempat kerja bagi sektor perkilangan dan pembinaan, Awang berkata, pihaknya akan meneliti aspek yang boleh diperbaiki dalam SOP sedia ada bagi memastikan jangkitan Covid-19 dapat dilandaikan.

Sabtu lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah meluahkan kebimbangannya mengenai peningkatan jumlah kluster melibatkan tempat kerja mutakhir ini.

Menurutnya, sejak 6 Januari hingga Jumaat lalu, sejumlah 350 kluster baharu telah dilaporkan dan 225 atau 64.3 peratus daripadanya adalah kluster berkaitan tempat kerja. Kluster berkaitan perkilangan mencatatkan bilangan kluster tertinggi iaitu 80, diikuti kluster berkaitan pembinaan sebanyak 53 dan 31 kluster berkaitan perkhidmatan. - Bernama