Kelonggaran sektor tertentu akan lanjutkan tempoh PKP: Anwar

Iklan
Anwar dalam sidang media atas talian pada Rabu.

SHAH ALAM - Tindakan kerajaan tidak menutup sektor yang mempunyai kadar jangkitan tertinggi Covid-19 hanya akan melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, situasi itu bakal memberi kesan kepada jutaan rakyat Malaysia yang sedang memainkan peranan masing-masing dalam membendung penularan wabak tersebut.

Iklan
Iklan

Beliau turut mempersoalkan alasan kerajaan yang merasakan pelaksanaan PKP kali ini berjaya mengurangkan penularan wabak dalam kalangan pekerja asing tanpa menyekat sektor berkenaan secara spesifik.

"Kadar penularan yang tinggi dalam kalangan pekerja asing dikenal pasti sekurang-kurangnya empat bulan yang lalu dan berkemungkinan lebih.

Iklan

"Terdapat banyak laporan yang menyatakan berlakunya pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) di dorm-dorm pekerja asing.

"Mengapa syarikat-syarikat dan kilang-kilang ini masih dibenarkan beroperasi tanpa dikenakan hukuman?" katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Iklan

Anwar mengulas mengenai surat ditulis EUMalaysia Chamber of Commerce and Industry (Eurocham) kepada anggotanya bagi menyatakan hasrat kerajaan Malaysia untuk mengumumkan penutupan atau sekatan penuh selepas 4 Februari depan.

Surat itu merujuk pada mesyuarat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bertarikh 22 Januari lalu yang menjelaskan kepada wakil industri bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengenal pasti sektor pembuatan sebagai sektor utama dalam penularan wabak Covid-19 di negara ini.

Sementara itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, surat Eurocham itu mengesahkan apa yang dirasakan rakyat seperti yang dipanjangkan kepada beliau bahawa tindakan kerajaan dalam menangani Covid-19 di negara ini cukup lemah dan ketinggalan.

"Negara jiran Singapura telah melaksanakan ujian besar-besaran dalam kalangan pekerja asing di sana, manakala Malaysia masih acuh tak acuh dalam melaksanakannya,” ujar beliau.

Tambah beliau, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyatakan bahawa langkah PKP ketika ini tidak membawa dampak besar ke atas ekonomi negara kerana banyak sektor masih dibenarkan beroperasi termasuk sektor pembinaan dan pembuatan.

Bagaimanapun, Anwar menyifatkan Tengku Zafrul berbohong dengan kenyataan mengelirukan kerana alasan untuk penutupan penuh sektor berkenaan jika ia ingin dilaksanakan pada 4 Februari depan telah diketahui rakyat seawal 22 Januari lalu.

"Rakyat Malaysia adalah rakyat yang tinggi tahap kesabarannya, sanggup untuk mengambil jalan susah dan menempuhinya bersama demi semua dan juga masa depan, tetapi mereka tidak mudah diperbodohkan.

"Mereka juga dapat merasakan kerajaan ini sudah tidak dapat mengawal keadaan dan situasi kemelut hari ini.

"Sekiranya PKP yang lebih tegas akan diumumkan tanpa dukungan kewangan yang munasabah kepada para peniaga dan keluarga yang memerlukan, saya jangka banyak syarikat akan gulung tikar.

"Tanpa rencana yang jelas dalam mengekang wabak ini, rakyat akan berdepan dengan wabak ini bersendirian sehinggalah vaksin tiba. Khabarnya kita harus menunggu lagi 15 bulan dari sekarang untuk menerimanya,” kata Anwar.

Justeru, beliau menggesa kerajaan berbelanja lebih dan membantu syarikat terbabit dengan memperluaskan skim subsidi upah, geran cukai bagi menambah baik kuarters pekerja selain membiayai ujian Covid-19 secara besar-besaran.

"Kita harus juga mengakui bahawa sebelum zaman pandemik ini, syarikat-syarikat ini telah membayar cukai secara konsisten kepada kerajaan sebanyak RM70 bilion setahun,” katanya,

Dalam pada itu, Anwar turut mengulangi desakan supaya diadakan Sidang Khas Parlimen dengan persetujuan Yang di-Pertuan Agong bagi membincangkan isu kepentingan rakyat.