SHAH ALAM – Pelajar dan ibu bapa menggesa Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) menangguhkan Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET) yang dijadualkan pada 30 Januari ini.
Di ruangan komen Facebook MPM, rata-rata mereka berpendapat ujian penulisan sesi kedua perlu ditunda kerana calon berdepan pelbagai kekangan, antaranya ada yang perlu merentas negeri untuk menjalani ujian berkenaan.
Salah seorang pelayar Facebook dikenali sebagai Sumareh PRO berkata, keselamatan calon perlu diutamakan berikutan kes Covid-19 semakin meningkat.
"Kami merayu MPM untuk menangguhkan MUET bagi mencegah penularan Covid-19 yang semakin meningkat. Ini kerana ramai pelajar terpaksa merentas negeri dan daerah untuk menduduki ujian tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN: Ujian MUET ditangguhkan ke tahun depan
"Diharap pihak MPM tidak membahayakan nyawa pelajar. Oleh itu keputusan MPM perlu selari dengan Kementerian Kesihatan Malaysia, barisan hadapan (fronliners) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang berusaha bersusah payah membendung penyebaran Covid-19,” katanya.
Fasharul Zafran pula berkata, dia bimbang akan wujud kluster baharu walaupun ujian itu dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
"MPM tak 'aware' ke, sekarang ni dah ramai yang positif Covid ni ‘asymptomatic’. Takde tanda apa pun. 'Virus is in our community' tapi 'insist' nak buat jugak waktu PKP ni. Terlalu banyak pergerakan 'between redzone' semua ni.
"MPM nak ada kluster MUET juga ke selepas ni? Boleh jamin semua pergerakan calon peperiksaan ni semua selamat akan mengikut SOP? soalnya.
Bagi Kin Bukowski pula berkata, dia kecewa apabila pihak terbabit tidak memberikan maklum balas untuk membantu menyelesaikan masalah calon.
"Pihak MPM tidak balas e-mel dan tidak jawab panggilan saya. Tidak cuba membantu untuk menyelesaikan masalah kami, terutamanya calon MoD yang berada di luar negeri pusat peperiksaan.
"Kami ambil peperiksaan ini berbayar bukan percuma ya, pihak MPM sepatutnya bersifat profesional dalam hal ini,” ujarnya.
Sementara itu, MPM menerusi satu notis memaklumkan, ujian MUET dijalankan seperti yang dijadualkan dan SOP ujian berkenaan sudah dimaklumkan kepada calon terbabit menerusi portal MPM, FB MPM dan Instagram MPM.
Notis itu menjelaskan, calon yang positif Covid-19 atau calon yang dikuarantin (kontak rapat) atau bergejala tidak dibenarkan untuk menduduki peperiksaan itu.
Calon yang mempunyai sebarang kesulitan boleh menghubungi pihak MPM atau email ke temco@mpm.edu.my.