Bukan tuding jari kepada Kedah: Sanusi

Iklan
Muhammad Sanusi Md Nor

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor mempersoal tindakan segelintir pihak yang menuding jari terhadap Kedah apabila tidak mengumumkan perayaan Thaipusam sebagai cuti peristiwa pada Khamis ini.

Beliau berkata, pihak berkenaan sepatutnya mencadangkan kepada kerajaan Persekutuan untuk menjadikan Thaipusam sebagai hari cuti umum rasmi bagi sektor awam seluruh Malaysia dan bukannya hanya di Kedah.

Iklan
Iklan

"Kenapa tuju kepada Kedah sahaja sedangkan banyak negeri lain tidak memberikan cuti umum atau cuti peristiwa sempena perayaan itu?” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Sebelum ini, katanya, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Abdul Rahman Mohd Nordin berkata, tiada istilah cuti untuk kakitangan bekerja dari rumah dan cuti peristiwa Thaipusam wajar diberikan kepada rakyat Kedah.

Iklan

"Apakah kakitangan awam hanya ada di Kedah atau Cuepacs mahu menjadi alat kepada pihak tertentu,” soal Muhammad Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat itu.

Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, desakan atau memorandum untuk mengumumkan Thaipusam sebagai cuti peristiwa sepatutnya turut dihantar ke semua negeri yang tidak memberi cuti umum atau cuti peristiwa sempena Thaipusam seperti Pahang, Terengganu, Kelantan, Perlis, Sabah dan Sarawak.

Iklan

"Kenapa fokus Kedah sahaja. Saya rasa mereka ada agenda lain selain menuntut cuti peristiwa. Pihak-pihak yang membangkitkan isu ini seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO), parti politik, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Ceupacs, MIC sepatutnya kemukakan kepada Persekutuan, bukan Kedah.

Apakah hanya orang India di Kedah merayakan Thaipusam dan hanya Kedah ada peruntukan cuti peristiwa?” katanya.

Walaupun dikritik pelbagai pihak setelah mengumumkan sambutan dan aktiviti perayaan Thaipusam termasuk rumah terbuka tidak dibenarkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kedah, Muhammad Sanusi tetap mempertahankan keputusannya.

"Cuti peristiwa sempena Thaipusam tidak dipertimbangkan tahun ini memandangkan seluruh rakyat dikenakan PKP akibat pandemik Covid-19 yang semakin mengancam keselamatan rakyat. Pada tahun lalu pun tidak diberikan kerana Thaipusam jatuh pada hari Sabtu,” katanya.

Mengulas mengenai kenyataan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan bahawa keputusan kerajaan Kedah membatalkan cuti umum Thaipusam di negeri itu sebagai keputusan berat sebelah, Muhammad Sanusi meminta menteri itu memberi fokus kepada kerja.

"Selaku menteri, beliau boleh minta Kerajaan Persekutuan untuk umumkan Thaipusam sebagai cuti umum seluruh negara tanpa perlu bising. Bolehlah masyarakat India di negeri lain menumpang rahmat kebijaksanaannya.

"Bukankah dia masuk mesyuarat Kabinet tiap-tiap minggu? Itulah medan sebenar kalau betul-betul mahukan cuti itu dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata, terdapat beratus ribu pekerja asing belum melakukan saringan Covid-19 di negara ini selain ratusan ribu pekerja tempatan terjejas yang memerlukan perhatian Kementerian Sumber Manusia di bawah jagaan Saravanan.

ARTIKEL BERKAITAN: Keputusan Kedah membatalkan cuti Thaipusam dianggap berat sebelah

ARTIKEL BERKAITAN: Batal cuti Thaipusam bukan nafi hak, kata Muhammad Sanusi

ARTIKEL BERKAITAN: Kembalikan cuti Thaipusam kepada pekerja: MTUC