GEORGETOWN- [DIKEMASKINI] Seorang doktor wanita dari sebuah hospital di Seberang Jaya disiasat berhubung penyalahgunaan cop milik rakan sekerjanya untuk membuat tuntutan insurans dan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi pihak lain.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Pulau Pinang Pinang, Asisten Komisioner Mohd Rosni Mohd Lazim berkata, penahanan doktor wanita itu dibuat selepas menerima laporan polis dibuat timbalan pengarah hospital tempat dia bekerja pada 20 Januari lalu.
Menurutnya, timbalan pengarah itu membuat laporan polis selepas mendapat aduan daripada seorang doktor lelaki bahawa cop rasmi miliknya telah digunakan pihak lain untuk memohon insurans serta caruman Perkeso.
"Doktor wanita berusia 37 tahun itu disyaki membuat pemalsuan dokumen dengan menggunakan cop milik rakan sekerjanya tanpa kebenaran.
"Doktor di jabatan ortopedik yang membuat aduan itu memaklumkan dia tidak pernah menandatangani atau cop sebarang surat milik beberapa individu yang terlibat dalam kemalangan untuk memohon insurans dan tuntutan Perkeso.
"Lebih mengejutkan, mangsa juga mendakwa mereka tidak pernah menerima rawatan dengan doktor itu di hospital tersebut," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini pada Isnin.
Tambahnya, polis tidak menolak kemungkinan doktor wanita tersebut terlibat dalam kegiatan memalsukan dokumen perubatan dengan menggunakan cop milik rakan setugasnya.
"Polis merampas beberapa dokumen dipercayai digunakan doktor tersebut untuk memalsukan dokumen di rumahnya di Kulim, Kedah. Siasatan awal juga mendapati, dia turut menggunakan cop milik seorang doktor wanita lain yang sebelum ini bertugas di hospital sama.
"Doktor wanita itu bagaimanapun telah berpindah ke sebuah hospital di Sibu, Sarawak sejak 2017 lalu. Dia dipercayai menggunakan cop milik doktor wanita itu sejak tahun lalu untuk tujuan sama," katanya.
Jelasnya, sehingga kini, sebanyak tiga dokumen palsu menggunakan cop doktor wanita tersebut dan empat dokumen membabitkan cop milik doktor lelaki.
"Siasatan lanjut masih dijalankan dan setakat ini polis telah merekodkan keterangan doktor tersebut, doktor lelaki serta timbalan pengarah hospital berkenaan. Kita juga sedang mengesan beberapa individu yang menggunakan dokumen palsu serta cop milik doktor-doktor tersebut untuk memohon insurans serta tuntutan Perkeso.
"Kita percaya, dia memperoleh komisen untuk setiap tuntutan yang berjaya. Siasatan juga masih dijalankan untuk mengetahui sama ada dia bergerak sendirian atau membabitkan rangkaian sindiket," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 468 dan 471 Kanun Keseksaan kerana pemalsuan dokumen dan menggunakan dokumen palsu untuk mendapatkan imbuhan.