SHAH ALAM - Pakej bantuan khas yang lebih bersasar kepada industri pelancongan dan perhotelan perlu diwujudkan bagi memastikan ia mampu bertahan pada masa akan datang.
Timbalan Presiden Persatuan Hotel Budget Malaysia (MyBHA), Dr Sri Ganesh Michiel berkata, pakej bantuan khas tersebut adalah antara cadangan kepada kerajaan agar Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) ditambah baik sebagai usaha untuk memastikan nasib industri utama negara ini terus terbela.
Beliau berkata, pihaknya turut mencadangkan supaya Program Subsidi Upah dinaikkan kepada RM1,200 bagi satu tempoh yang munasabah, arahan tetap atau automatik bagi bantuan moratorium oleh pihak bank mahupun syarikat kredit, diskaun atau pengecualian cukai taksiran selain insentif cukai dalam memastikan industri terbabit terus bernafas.
"Keadaan industri pelancongan dan perhotelan kini bertahan semampu yang boleh.
"Jika pemilik atau pengendali hotel sudah tidak mampu untuk bertahan, pekerja terpaksa diberhentikan menyebabkan hotel tidak mampu beroperasi.
"Jika keadaan ekonomi masih tidak stabil, ia boleh menyebabkan hotel terpaksa ditutup,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau mengulas situasi yang dihadapi pengendali hotel bajet di seluruh negara sehingga ada yang terpaksa menutup bilik hotel.
Sementara itu, Ganesh berkata, pihaknya menerima aduan bahawa anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekitar Kuala Lumpur sering mengunjungi hotel-hotel terutama pada waktu malam bagi membuat pemeriksaan terhadap pelanggan hotel yang sedang tidur.
"Kami berbesar hati mencadangkan kepada pihak berkenaan supaya mengambil suatu inisiatif dengan membuat pemeriksaan di kaunter dan tidak mengganggu pelanggan.
"Tindakan itu dilihat kurang sopan dan membuatkan pelanggan tidak memilih hotel sebagai tempat penginapan,” katanya.
Penginapan tidak berdaftar yang dimaksudkan ialah townstay atau rumah dijual untuk tujuan penginapan sementara secara dalam talian."Kami faham akan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), akan tetapi kami inginkan keadilan bagi kelangsungan industri ini,” kata beliau.
Ganesh turut menyatakan kebimbangan apabila tiada akta, undang-undang atau peraturan yang mengawal pihak Agensi Pelancongan Atas Talian (OTA).