Scotland cabar PM Britain adakan referendum kemerdekaan

Iklan
Gambar fail menunjukkan sejumlah penyokong kemerdekaan Scotland dari United Kingdom berarak di Glasgow pada Oktober 2019. - Foto AFP

SCOTLAND berhasrat mahu melakukan pungutan suara kemerdekaan dari United Kingdom (UK) yang disertainya pada tahun 1707 walaupun tanpa mendapat persetujuan daripada Perdana Menteri Britain, Boris Johnson.

Kenyataan terbaharu itu dibuat tidak sampai sebulan UK secara rasminya keluar daripada menjadi anggota Kesatuan Eropah (EU) yang dianggotainya sejak 1 Januari 1973 selepas London melakukan pungutan suara pada tahun 2016 bagi menentukan sama ada ia perlu kekal dalam kesatuan ekonomi tersebut.

Iklan
Iklan

Anggota kesatuan UK buat masa terdiri daripada England, Scotland, Wales dan Ireland Utara.

Pungutan suara yang diadakan pada tahun 2016 itu menyaksikan majoriti penduduk UK mahu keluar dari EU berbanding ketika referendum buat kali pertama diadakan pada tahun 1975 yang mana rakyatnya mahu UK kekal berada dalam EU.

Iklan

Scotland pernah melaksanakan pungutan suara kemerdekaan pada September 2014 dengan 55 peratus penduduknya tidak mahu ia merdeka dari UK manakala 45 peratus lagi menyokong supaya ia memperoleh kemerdekaan.

Menteri Pertama Scotland, Nicola Sturgeon bertegas mahu mengadakan pungutan suara kali kedua bagi menentukan sama ada penduduknya mahu merdeka dari UK. - Foto AFP

Bagaimanapun, Menteri Pertama Scotland, Nicola Sturgeon menyatakan pada Ahad bahawa beliau akan mengadakan pungutan suara kemerdekaan jika Parti Kebangsaan Scotland pimpinannya menang majoriti dalam pilihan raya Parlimen pada bulan Mei ini.

Iklan

Scotland tidak mempunyai Perdana Menteri kerana ia menyertai UK bersama Wales dan Ireland Utara tetapi mempunyai sistem parlimennya tersendiri dan mempunyai 59 wakil rakyat mewakili wilayah bangsa itu di Parlimen UK yang mempunyai 650 kerusi.

Menteri Pertama Scotland itu pula ialah ketua kerajaan Scotland dan jawatan itu diwujudkan menerusi Akta Scotland pada tahun 1998 dan dilantik oleh pemerintah diraja England selepas satu undian dilakukan oleh ahli-ahli Parlimen di wilayah bangsa itu.

Sejak beberapa tahun lalu, kerajaan pusat UK di London telah menurunkan kuasa kepada Parlimen Scotland untuk bertindak dalam isu-isu antaranya ekonomi, kewangan, tenaga, pasaran biasa dan sistem fiskal.

Ia juga mempunyai Bank of Scotland yang mencetak mata wang pound British, mempunyai sebahagian kawalan terhadap sistem pengangkutan, mengawal sistem undang-udang dan pendakwaan di mahkamah, mengawal sistem polis dan sistem pendidikan tetapi tidak mempunyai duta ke negara-negara asing.

Dalam pungutan suara yang dilakukan pada tahun 2016 ketika UK di bawah pemerintahan Perdana Menteri, David Cameron, sebanyak 62 peratus penduduk Scotland mengundi supaya UK kekal berada di dalam EU manakala 32 peratus lagi menentang.

Bagaimanapun, keseluruhan pungutan suara itu menunjukkan 52 peratus penduduk UK bersetuju supaya UK keluar dari EU manakala 48 peratus lagi mahu ia kekal berada dalam blok ekonomi tersebut.

Menteri Pertama Scotland itu dilaporkan pernah berkata bahawa ramai penduduk Scotland menolak untuk merdeka dalam pungutan suara yang diadakan pertama kali pada tahun 2014 bagi menentukan sama ada wilayah bangsa itu perlu merdeka atau tidak kerana sebahagian besar daripada mereka mahu Scotland kekal berada dalam EU.

Sudah diketahui sebelum ini bahawa Sturgeon, 50, telah berkempen untuk UK kekal berada dalam EU kerana menurutnya, ia baik untuk pekerjaan, perniagaan dan hak-hak pekerja.

Beliau juga sebelum ini pernah mengancam untuk melakukan pungutan suara kemerdekaan Scotland yang kedua selepas rakyat UK membuat keputusan supaya kesatuan itu keluar dari EU pada tahun 2016 tetapi sehingga kini ia masih belum dapat dilaksanakan lagi.

Usaha itu tidak berhenti setakat itu apabila pada Disember tahun lalu, beliau berkata bahawa Scotland berharap akan menyertai semula EU sebagai sebuah negara yang merdeka.

Kali ini, menurut akhbar The Guardian, jika parti SNP menang dalam pilihan raya Parlimen pada awal bulan Mei nanti, ia akan meminta kerajaan UK membenarkan Parlimen Scotland yang mempunyai 129 kerusi meluluskan undang-undang yang pada kebiasaannya diberikan kepada Parlimen UK untuk membuat keputusan.

Akhbar itu melaporkan, jika permintaan itu tidak mendapat maklum balas daripada Parlimen UK, kerajaan SNP akan memperkenalkan satu rang undang-undang bagi membenarkan satu pungutan suara yang sah di sisi undang-undang dilakukan selepas berakhirnya Covid-19 dan mampu menentang mana-mana tuntutan undang-undang daripada kerajaan UK.

Namun, setakat ini Perdana Menteri UK, Boris Johnson masih tidak mahu melakukan pungutan suara kerana menurutnya, ia sepatutnya diadakan sekali bagi setiap satu generasi.

Menurut BBC, ketika ditanya dalam satu program portal berita itu tentang perbezaan antara pungutan suara UK keluar dari EU dengan pungutan suara kemerdekaan Scotland, Johnson berkata:"Perbezaannya ialah kami mengadakan satu pungutan suara pada tahun 1975 (bagi menentukan sama ada UK kekal berada dalam EU) dan kami mengadakannya satu lagi (pungutan suara) pada tahun 2016." - Agensi