IPOH - Usaha memerangi rasuah harus diperhebat khususnya di peringkat komuniti dengan melaksanakan pelbagai program kesedaran tentang bahaya jenayah ini.
Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Perak, Muhammad Asree Abdul Aziz berkata, komuniti di peringkat perumahan dan kawasan strategik boleh digerakkan melalui program-program khusus seperti hari atau minggu Kami Benci Rasuah mahupun program lain secara berfokus yang mampu memberi impak positif.
Menurutnya, menerusi kempen Sinar Rasuah Busters yang dilancarkan sebelum ini, ia memberi gambaran bahawa masyarakat di negara ini benar-benar serius mahu memerangi gejala rasuah.
"Usaha untuk membenci rasuah ini kita tidak boleh meletakkan peranan dan harapan kepada pihak kerajaan sahaja, masyarakat perlu berganding bahu dengan agensi yang terlibat dalam memastikan rasuah ini hilang daripada norma masyarakat kita.
"Untuk itu, kesedaran di peringkat akar umbi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu dipergiatkan. Kerjasama yang erat antara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan NGO perlu diperkemaskan dengan memberi pendedahan tentang bahaya dan kesan buruk jika gejala rasuah ini berlarutan," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Beliau berkata, di peringkat organisasi NGO pula, pemimpin yang menerajui sesebuah pertubuhan perlu berintegriti dan menjadi suri teladan utama kepada ahli-ahlinya agar gejala rasuah ini tidak menjadi budaya.
Jelas Muhammad Asree, setiap NGO perlu mempunyai matlamat dan ikrar untuk sentiasa berada di landasan yang betul dalam usaha membanteras gejala rasuah ini.
"Di peringkat GPMS Perak, kami kerap mengikuti program-program berkaitan bebas rasuah bersama-sama dengan Majlis Belia Negeri Perak dalam memastikan ahli dan organisasi kami benar-benar sedar buruknya padah apabila terlibat dengan gejala rasuah.
"Bagaimanapun, dalam memastikan organisasi kami bebas daripada gejala ini, kami telah berikrar dan berpegang teguh dalam menjauhi dan berusaha bersungguh-sungguh bahawa gejala rasuah tidak ada dalam organisasi GPMS," katanya.
Sementara itu, Muhammad Asree mencadangkan agar penambahbaikan dibuat oleh kerajaan terutama dari sudut peruntukan undang-undang berkaitan rasuah agar masyarakat gerun dengan perbuatan jijik tersebut.
Menurutnya, peruntukan undang-undang yang lebih berat perlu dibuat seperti hukuman sebatan kepada pesalah.
Jelasnya, usaha membanteras gejala berkenaan jika tidak melibatkan kuat kuasa undang-undang yang berat, pesalah tidak akan rasa bersalah dan sambil lewa dalam menjauhi ancaman ini.