SHAH ALAM - Kumpulan penggodam terkenal, Anonymous Malaysia (Anonymous) kembali muncul dengan sebuah mesej amaran yang ditujukan kepada kerajaan Malaysia.
Menerusi satu video yang dikongsikan melalui akaun Facebook Anonymous Malaysia pada Isnin, mereka mendakwa tahap keselamatan siber negara berada di tahap yang rendah dan berisiko kepada berlakunya kes kebocoran data.
Iklan
Iklan
Bagi menyokong dakwaan tersebut, kumpulan tersebut memberikan beberapa kes antaranya seperti kebocoran data oleh syarikat telekomunikasi negara pada 2017 yang melibatkan sebanyak 46 juta nombor telefon bimbit pengguna di Malaysia.
Selain itu, video berdurasi 2.29 saat yang masih belum dipastikan kesahihannya itu turut menyatakan bahawa peningkatan kes penipuan dan insiden serangan siber baru-baru ini yang melibatkan portal web Angkatan Tentera Malaysia sebagai asas dakwaan mereka.
Dalam hal tersebut, Anonymous menyalahkan kerajaan yang didakwa tidak menyokong para pembangun teknologi maklumat.
Kata mereka, hal sedemikian juga berlaku disebabkan kerana pembangun tidak membuat pemilikan atas kod yang dibina dan tidak memiliki keinginan bagi membetulkan kesilapan serta terus kekal dengan situasi tersebut.
Kali terakhir kumpulan tersebut muncul adalah pada tahun 2015 bagi menyatakan sokongan kepada gerakan Bersih 4.0 dan mengancam untuk melancarkan serangan siber kepada kerajaan sekiranya Perdana Menteri pada masa itu, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak meletakkan jawatan.