Ayam sejuk beku bernilai hampir setengah juta dirampas

Iklan
Kotak mengandungi potongan ayam sejuk beku yang cuba dibawa masuk dari Thailand berjaya dirampas anggota Maqis.

BUKIT KAYU HITAM - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) berjaya menggagalkan cubaan membawa masuk ayam sejuk beku dianggarkan bernilai RM495,608 dari Thailand di Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, pada Ahad.

Pengarah Maqis Negeri Kedah, Lily Rosalind Paul berkata, hasil pemeriksaan rutin dilakukan oleh pegawai Maqis pada jam 4 petang mendapati sebanyak 5,161 keratan ayam sejuk beku dengan anggaran berat 61,932 kilogram (kg) yang cuba dibawa masuk itu tidak mematuhi syarat import.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bekalan itu juga dipercayai dibawa dari pusat penyembelihan yang tidak diiktiraf selain meragukan.

"Maqis tidak akan leka atau memandang mudah perkara ini dan akan terus komited memastikan tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanih, mikroorganisma dan makanan yang diimport bebas daripada ancaman perosak, penyakit, bahan cemar serta tidak menjejaskan sektor pertanian negara dan mematuhi aspek kesihatan," katanya dalam kenyataan media pada Selasa.

Iklan
Ayam sejuk beku yang dirampas ketika pemeriksaan di ICQS Bukit Kayu Hitam pada Ahad.

Lily Rosalind berkata, kegagalan pihak terbabit mengemukakan maklumat berkaitan menjadi kesalahan di bawah Seksyen 15(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau keduanya sekali mengikut Seksyen 15(2) akta sama.

"Pengimport berkenaan akan dikenakan tindakan lanjut atas kesalahan cuba membawa masuk barangan tanpa dokumen sah.

Iklan

"Kesemua barang rampasan disimpan di bilik tahanan Maqis untuk siasatan sebelum dilupuskan," katanya.