PHEB tetap tidak benarkan perarakan Thaipusam di Pulau Pinang

Iklan
Ramasamy menunjukkan surat yang diserahkan kepada Kon Yeow berhubung permohonan untuk mengadakan perarakan Thaipusam pada sidang media di Georgetown pada Selasa.

GEORGETOWN - Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (PHEB) berpegang dengan pendiriannya untuk tidak membenarkan sebarang perarakan sempena perayaan Thaipusam di Pulau Pinang yang akan disambut oleh kaum India pada Khamis.

Pengerusinya, P Ramasamy berkata, pihaknya tetap dengan pendirian itu selepas mengambil kira keselamatan rakyat susulan kes penularan Covid-19 semakin meningkat ketika ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, PHEB amat menitik beratkan keselamatan rakyat kerana pandemik Covid-19 amat bahaya terhadap kesihatan.

"Dalam soal keselamatan rakyat, kita tidak boleh berkompromi. PHEB bagaimanapun bukan mahu batalkan perarakan sampai bila-bila, cuma buat waktu sekarang, dengan kes Covid-19 semakin meningkat, kita tidak benarkan dahulu.

Iklan

"Tahun depan, jika keadaan sudah kembali pulih, buatlah (perarakan). Isu keselamatan rakyat amat penting kerana pandemik ini amat berbahaya," katanya pada sidang media di Kebun Bunga di sini pada Selasa.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri II berkata, tindakan Majlis Keselamatan Negara (MKN) membenarkan perarakan pedati yang membawa arca Dewa Murugan dari kuil Jalan Bandar ke Batu Caves di Kuala Lumpur telah menyebabkan kekeliruan dalam kalangan pengurusan kuil di seluruh negara.

Iklan

ARTIKEL BERKAITAN: Thaipusam: Pergerakan pedati dibenar dengan syarat ketat

"Mengapa MKN mengubah keputusan mereka iaitu dari tidak membenarkan dan sekarang boleh pula. Pendirian yang tidak tetap ini menyebabkan pihak pengurusan beberapa kuil di seluruh negara termasuk di Pulau Pinang turut memohon untuk mengadakan perarakan sama di negeri masing-masing.

"Mengapa MKN buat keputusan 'double standard' seperti ini. Adakah ia bermotifkan politik. Kebenaran di Batu Caves itu dilihat tidak bertanggungjawab dan mencetuskan masalah dalam kalangan pihak pengurusan kuil lain. Mereka juga mahu lakukan perkara sama seperti di Batu Caves," katanya.

Terdahulu, PHEB membuat keputusan perarakan dua pedati yang membawa Dewa Murugan dalam sambutan perayaan Thaipusam bermula pada 27 hingga 29 Januari ini dibatalkan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Pihak pengurusan Kuil Nattukottai Chettiar bagaimanapun membuat permohonan kepada kerajaan negeri Pulau Pinang untuk mengadakan perarakan sama seperti dibenarkan MKN di Batu Caves pada Isnin.

Sehubungan itu, Ramasamy berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam Mesyuarat Exco Pulau Pinang pada Rabu selepas permohonan itu dibuat kepada Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

"Surat sudah diserah kepada Ketua Menteri (Kon Yeow), maka permohonan ini akan dibincangkan esok (Rabu)," katanya.

Berhubung perkara sama, Ramasamy berkata, sambutan Thaipusam masih boleh disambut dengan meriah oleh penganut Hindu termasuk dengan bersembahyang di rumah masing-masing.

"Walaupun tiada perarakan, penganut Hindu masih boleh menyambutnya. Saya faham, ramai yang tidak boleh terima dengan keputusan ini namun keadaan semasa tidak mengizinkan.

"Sebenarnya keputusan untuk tidak membenarkan perarakan sempena Thaipusam kali ini juga amat sukar dibuat kerana kita kehilangan RM500,000 hingga RM600,000 sumbangan penganut Hindu yang sebelum ini digunakan untuk kerja-kerja kebajikan dan pengurusan kuil.

"Namun seperti yang saya katakan sebelum ini, soal keselamatan rakyat kita tidak boleh berkompromi," katanya.