MUAR - [DIKEMASKINI] Seorang anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muar cedera dihempap kayu pallet yang jatuh dari ketinggian 9.1 meter semasa operasi memadam kebakaran gudang Combi Trading Sdn Bhd & Bripanel Industries, Jalan Jorak, Bukit Pasir di sini pada Isnin.
Komander Operasi dari BBP Muar, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Jefri Jamal berkata, dalam kejadian pada jam 3.55 pagi itu anggota bomba berkenaan tidak sempat mengelak kayu pallet itu yang tiba-tiba jatuh.
"Mangsa diberikan rawatan awal oleh Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) sebelum dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), di sini untuk menerima rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, kebakaran itu bermula pada jam 1.04 pagi Sabtu sebelum 50 anggota dan kira-kira 20 jentera dari BBP Muar, BBP Bukit Gambir, BBP Pagoh, BBP Pasir Gudang, BBP Bandar Baru Segamat dan BBP Seremban 2 dikejarkan ke tempat kejadian.
Katanya, kerja-kerja pemadaman turut disertai 26 pegawai kanan bomba dari BBP berkenaan.
"Apabila sampai 2,400 meter persegi daripada 10,000 meter persegi atau 24 peratus keluasan kawasan gudang itu sudah terbakar.
PKO bertindak memadam kebakaran menggunakan empat aliran lapan pancutan di bahagian luar dan dalam bangunan dan satu aliran di belakang gudang menggunakan ‘pressurehydrant’ milik kilang bersebelahan untuk mengelakkan kebakaran merebak.
"Keadaan di bahagian dalam gudang yang tiada pengudaraan dan terlalu banyak stok kayu pallet menyukarkan kerja-kerja pemadaman," katanya.
Seterusnya kata beliau, operasi pemadaman di bahagikan kepada empat sektor iaitu sektor A, sektor B, sektor C dan sektor D.
Sektor A katanya, berjaya diselamatkan menggunakan teknik ‘fire break’ dan operasi diteruskan di sektor B, C dan D dengan menggunakan teknik ‘offensive fire-fighting’ dan ‘total flooding’ bagi mengawal kebakaran daripada merebak.
"Pihak gudang telah menyediakan satu buah jengkaut dan lima buah forklift untuk mengeluarkan stok kayu pallet dari dalam gudang. Kita juga menggunakan sumber air di belakang kilang dengan menggunakan hydrosub pump dan satu aliran tiga pancutan menggunakan satu unit 'portable pump'," katanya.
Pada masa sama katanya, operasi pemadaman dibantu dengan sebuah jengkaut untuk mengalihkan bahan-bahan yang mudah terbakar bagi memudahkan kerja-kerja pemadaman diteruskan.
Beliau berkata, kebakaran dapat dipadamkan keseluruhan dengan mengambil masa kira-kira tiga hari dan operasi ditamatkan pada jam 7.16 petang Isnin, punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.