Polaris, kapal pengangkut bergesel di perairan Malaysia bukan Singapura

Iklan
Kapal Malaysia, Polaris yang bergesel dengan kapal pengangkut pukal Piraeus berdaftar di Greece tengah hari ini berlaku di perairan Malaysia dan bukan Singapura, kata Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia Datuk Baharin Abdul Hamid. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR – Kejadian sebuah kapal Malaysia, Polaris bergesel dengan kapal pengangkut pukal Piraeus berdaftar di Greece tengah hari ini berlaku di perairan Malaysia dan bukan Singapura, kata Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia, Datuk Baharin Abdul Hamid.

Menjelaskan satu laporan berita mengenai insiden itu yang berlaku pada jam 2.28 petang itu, beliau berkata Polaris bertugas memantau keselamatan kapal-kapal yang belayar di perairan sekitar pelabuhan Johor Bahru.

Iklan
Iklan

"Kejadian dalam kawasan perairan Pelabuhan Johor Bahru. Jadi tidak timbul soal menceroboh perairan Singapura. Kami tugaskan Polaris untuk memantau keselamatan pelayaran dalam kawasan itu. Itu adalah pelabuhan kita (sebagai mewajarkan kehadiran Polaris),” katanya.

Kesan daripada pergeselan Kapal Malaysia, Polaris dengan kapal pengangkut pukal berdaftar di Greece yang berlaku tengah hari ini. - Foto Bernama

Lembaga Maritim dan Pelabuhan Singapura dalam satu kenyataan malam ini mendakwa indisen itu berlaku di perairan wilayah Singapura dalam Garisan Sempadan Singapura berhampiran Tuas.

Iklan

Republik itu juga menyatakan kekhuatiran bahawa kehadiran kapal-kapal yang tidak mendapat kebenaran di kawasan pelabuhan Singapura boleh mencetuskan kekeliruan kepada komuniti perkapalan antarabangsa dan mengancam keselamatan pelayaran di perairan mereka.

Ditanya mengenai nasib Polaris dan krunya, Baharin berkata kesemua 23 kru dalam kapal itu selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Iklan

"Kapal pun tak ada kerosakan serius, tak ada bocor yang boleh menyebabkan air masuk. Insiden itu juga tidak menyebabkan ancaman pencemaran,” katanya.

Ketika ini, katanya, pasukan penyiasat telah dibentuk dan telah memulakan siasatan ke atas kedua-dua kapal.

"Mereka sudahpun berada di atas kedua-dua kapal, kita akan meninjau kapal-kapal itu untuk kita tentukan kerosakan sebenar yang ada. Sebaik kita dah nilai, baru kita ambil tindakan berikutnya,” tambah beliau.

Baharin berkata Polaris, sebuah kapal penyelenggara alat bantuan pelayaran pelbagai fungsi milik Jabatan Laut, kekal berada di lokasi, sementara Piraeus telah belayar ke jeti Tanjung Bin menunggu surat izin belayar dari jabatan berkenaan. - Bernama