KEPALA BATAS - Koperal Azmi Kamaruddin yang menghidap barah rahang mulut meninggal dunia di kediamannya di Taman Bertam Perdana, di sini tengah hari Selasa.
Berita itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor ketika dihubungi Sinar Harian.
Menurutnya, Allahyarham dikejarkan ke Hospital Kepala Batas malam Isnin selepas mengalami sesak nafas sebelum keadaannya semakin tenat.
"Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di rumahnya di Taman Bertam Perdana kira-kira jam 12.18 tengah hari tadi.
"Jenazah akan dibawa ke Tanah Perkuburan Berpusat Masjid Abdullah Fahim untuk dikebumikan selepas Asar dengan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara," katanya.
Sinar Harian pada Isnin melaporkan keperitan hidup dialami Koperal Azmi yang menghidap barah rahang mulut akibat ketumbuhan yang dikesan di bahagian mata berhampiran otak pada 2018.
Menurut isterinya, Koperal Noor Ifa Md Sukari, 36, ketumbuhan itu dibuang ketika suaminya mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), namun lama kelamaan ia merebak sehingga menjadi kanser dan menyebabkan keadaan kesihatan suaminya semakin merosot.