SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyarankan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seketat-ketatnya tanpa sebarang pelonggaran.
Ahli Parlimen Pekan itu berkata, ia perlu dilakukan kepada sektor pembinaan dan kilang-kilang untuk tempoh dua hingga empat minggu untuk memberi kesan paling maksimum terhadap penularan Covid-19.
"Dengan kaedah itu, rakyat tidak perlu menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berterusan serta risiko PKP 3.0 pada bulan-bulan mendatang," katanya di laman Facebooknya pada Selasa.
Saranan itu dilontarkan Najib berdasarkan situasi di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Sabah dan beberapa negeri lain yang sudah berada dalam PKPB sejak Oktober lalu iaitu lebih tiga bulan sebelum ia diperakui gagal sehingga terpaksa melaksanakan darurat dan PKP pada Januari.
Pada Isnin, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, PKP di seluruh negara kecuali Sarawak yang dijadual berakhir pada 4 Februari ini tidak akan dilanjutkan.
Dr Noor Hisham berkata, keputusan itu diambil bagi mengelak kesan negatif terhadap ekonomi negara susulan pelaksanaan PKP.
Sehubungan itu, katanya, PKP yang dijadual berakhir pada 4 Februari ini akan disambung dengan pelaksanaan PKPB.
ARTIKEL BERKAITAN: Dua digit kes selepas pelaksanaan PKPB selama tiga bulan
Mengulas lanjut, Najib mempersoalkan kenapa kerajaan perlu mengulang tindakan yang telah gagal sedangkan kerajaan hanya menyasar 70 peratus penduduk Malaysia akan menerima vaksin pada akhir 2021.
”Adakah banyak lagi sektor selain sektor pembinaan dan pembuatan seperti pelancongan, pendidikan swasta, pengangkutan swasta (seperti bas sekolah), sukan, ekspo, runcit dan sebagainya yang melibatkan jutaan rakyat tidak akan terkesan jika PKPB dilaksanakan secara berpanjangan.
"Adakah PKPB yang telah terbukti gagal mampu menurunkan jumlah kes baru melebihi 3,000 kes sehari sekarang kepada angka dua digit seperti dirancang kerajaan,” soalnya.
Tegasnya, pengorbanan untuk seketika adalah jauh lebih baik berbanding mudarat yang berpanjangan seperti bak kata pepatah Inggeris 'short term pain, long-term gain'.