SEREMBAN - Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim mengesahkan menerima laporan mengenai kehilangan barang kemas yang dipakai oleh seorang pesakit disyaki Covid-19 ketika mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Jaafar.
Kata Mohd Said, pihaknya masih menjalankan siasatan terhadap kes tersebut sebelum sebarang tindakan susulan dilakukan.
Iklan
Iklan
Terdahulu, pada Isnin, seorang juruteknik membuat laporan kehilangan barang kemas yang dipakai oleh ibunya sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Tuanku Jaafar akibat Covid-19 pada Ahad.
Menurut laporan polis itu, T Narenthiran, 31, mendakwa ibunya masih memakai set perhiasan emas ketika dia dan kakaknya membawa ibu mereka ke bahagian kecemasan setelah mengalami demam dan kesukaran bernafas, sebelum meninggal dunia.
"Semasa saya membawa ibu ke hospital dia memakai barang kemas iaitu rantai emas berharga RM7,500, subang telinga emas berharga RM1,750, tiga gelang dan sebentuk cincin.
"Namun, ketika saya menuntut mayat ibu pada hari berikutnya, pihak hospital hanya menyerahkan borang harta benda pesakit, dan hanya sebentuk cincin emas berada dalam senarai borang tersebut, lain-lain barang kemas tidak ada," katanya.
Tambahnya dia mengesyaki ada individu yang tidak bertanggungjawab telah mengambil barang-barang kemas tersebut dan menyebabkan kerugian lebih kurang RM9,250.