PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan Kem Bina Negara akan dijadikan sebagai Depoh Tahanan Sementara bagi menjamin penjarakan fizikal tahanan susulan pandemik Covid-19.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, sebanyak 15 kem PLKN dan satu Kem Bina Negara di seluruh negara dikenal pasti akan disewa bagi tujuan tersebut.
"Kesemua kem ini akan digunakan Jabatan Penjara Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, kem tersebut akan menempatkan banduan dan tahanan yang disabitkan dengan kesalahan ringan.
"Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), PDRM dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) untuk menempatkan anggota dan pegawai secara sementara bagi menjamin keselamatan serta kawalan yang ketat," katanya.
Menurutnya, PDRM pada masa ini sedang berunding dengan pemilik fasiliti yang bersesuaian untuk dijadikan lokap sementara.
"Penggunaan fasiliti sedia ada yang bersesuaian mampu mengelakkan dari implikasi kewangan yang lebih besar bagi pembinaan fasiliti baharu," katanya.
Sebelum ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendedahkan kesesakan di pusat tahanan merupakan faktor berlaku jangkitan Covid-19 dalam kalangan banduan dan kakitangan penjara.
Jangkitan kes di pusat tahanan telah menyebabkan beberapa kluster dikenal pasti.