KUALA LUMPUR - Polis akan terus memberi penekanan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) terhadap orang ramai ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk PKP Bersyarat, Diperketatkan dan Permulihan dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pematuhan kepada penjarakan fizikal amat penting bagi meminimumkan risiko jangkitan.
"Pasukan pematuhan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tegas dalam melaksanakan penguatkuasaan dan setiap hari ratusan orang dikenakan saman.
"Kerjasama pelbagai agensi termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) selama ini juga amat berkesan untuk kelicinan tugas pemantauan," katanya di sini pada Selasa.
Selain itu, Abdul Hamid berkata, penugasan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi membantu polis melakukan sekatan jalan raya baru-baru ini juga jelas menunjukkan pihak berkuasa serius menguat kuasa arahan diberikan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mengawal Covid-19.
Menurutnya, segala usaha dilakukan pasukan pemantauan dibuat dengan kefahaman dan kesedaran secara bersama.
"Kerjasama orang ramai juga amat penting bagi mencapai objektif memutuskan rantaian virus ini," katanya.
Terdahulu, JPJ dilaporkan menugaskan seramai 1,200 anggotanya di seluruh negara bermula 16 Januari lalu bagi membantu polis menerusi Ops Covid-19.
Pada Isnin, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, PKP di seluruh negara kecuali Sarawak yang dijadualkan berakhir pada 4 Februari ini tidak akan dilanjutkan bagi mengelak kesan negatif terhadap ekonomi negara.
PKP yang dijadualkan berakhir pada 4 Februari ini akan disambung dengan pelaksanaan PKPB.