JITRA - Persatuan Bekas 9 Rejimen Askar Melayu Diraja (9RAMD) kesal dengan tindakan seorang pemilik akaun Facebook yang memuat naik kenyataan dan gambar menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, 31 Januari lalu.
Pengerusinya, Zainol Ahmad berkata, ahli persatuan memandang serius perkara ini dan bersepakat membuat laporan polis terhadap individu berkenan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu, kelmarin.
Katanya, laporan polis itu dibuat berikutan rasa tidak puas hati dengan tindakan pemilik Facebook terbabit.
"Ia adalah penghinaan yang melampau dan menyentuh sensitiviti agama Islam memandangkan Yang di-Pertuan Agong merupakan ketua agama Islam di negara ini.
"Sudah pasti tindakannya juga menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat terutamanya orang Islam," katanya.
Menurutnya, sebagai rakyat negara ini, individu terbabit juga tidak sepatutnya menghina institusi raja-raja dan mencabar perlembagaan negara.
"Susulan itu, kami mendesak pihak berkuasa membuat siasatan dan mengambil tindakan tegas terhadap individu berkenaan," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim mengesahkan menerima laporan terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 kerana menghasut kebencian kepada Agong dan Seksyen 223(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana salahguna kemudahan komunikasi untuk sebaran maklumat jelik dan menghina.