JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor akan terus berusaha mengurangkan jumlah gelandangan di bandar raya ini yang wujud semula dan bertambah sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 baru-baru ini.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Zaiton Ismail berkata, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan agensi berkaitan akan membantu mereka supaya tidak terus hidup melarat dan terbiar.
"Sekiranya memerlukan bantuan dan sedang mencari pekerjaan, kerajaan akan bantu mereka mencari pekerjaan dan bagi yang tidak mempunyai tempat tinggal, kita akan tempatkan di Anjung Singgah di sini untuk sementara.
"Ketika ini hanya terdapat 77 gelandangan di sekitar Johor Bahru. Mereka ini mengambil makanan setiap hari yang disediakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan tempatnya disediakan pihak Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di Dataran Tun Sri Lanang, Jalan Ibrahim di bandar raya ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan makanan daripada pihak NGO dan kedai makanan termasuk individu kepada gelandangan di dataran berkenaan pada Selasa.
Zaiton berkata, setiap hari 45 NGO, kedai makan dan individu memberikan sumbangan makanan kepada mereka malah sejak kebelakangan ini 2,000 pek diperoleh sehari hingga perlu diberikan kepada penduduk Program Perumahan Rakyat (PPR) dan kawasan flat berhampiran bandar raya ini.
"Hasil pemantauan yang dibuat Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) sehingga hari ini (Selasa), seramai 237 orang telah didaftarkan untuk menerima makanan di sini dan 160 orang daripada mereka mempunyai kediaman dan bakinya seramai 77 orang tiada tempat tinggal iaitu gelandangan," katanya.
Katanya, hanya 40 peratus daripada jumlah mereka yang datang mengambil makanan adalah gelandangan, manakala selebihnya orang ramai termasuk warga bandar raya ini kerana mahu menjimatkan kos perbelanjaan harian.
Beliau berkata, semasa PKP pertama pada tahun lalu, 250 gelandangan yang berkeliaran di bandar raya ini ditempatkan di Kem Wawasan Negara Gunung Pulai, Kulai dan mereka semua sudahpun dihantar pulang ke pangkuan keluarga masing-masing.
Sementara itu, seorang gelandangan yang berusia 61 dari Bagan Serai, Perak berkata, setiap hari dia akan mengambil makanan selain tidur di bawah khemah yang disediakan di laman tersebut bersama enam gelandangan lain.
"Sebelum ini, saya bekerja di Singapura sebagai tukang masak dengan gaji lebih 2,000 dolar Singapura sebulan tetapi sejak PKP 2.0 saya sudah hilang kerja. Makan minum semua di bandar raya ini," katanya.
Seorang lagi gelandangan berusia 42, dari Kampung Beliau, Kota Marudu, Sabah berkata, sejak PKP 2.0 dia sudah jarang dapat bekerja kerana majikannya sudah tidak ada projek dan akan ke dataran itu dua kali sehari untuk mendapatkan makanan.
"Di sini kami hidup bagaikan bersaudara. Kalau boleh selepas ini berilah makanan yang boleh tahan lama sedikit dan tidak cepat basi, begitu juga kita memerlukan barang keperluan lain seperti berus gigi, sabun dan sebagainya. Makanan sudah terlalu banyak di sini sampai kadangkala dibuang sahaja," katanya.