Lima anggota polis Kelantan positif Covid-19

Iklan
Seramai lima anggota polis Kelantan disahkan positif Covid-19, sementara 35 lagi sedang menjalani kuarantin.

KOTA BHARU - Lima anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kelantan disahkan positif Covid-19, sementara 35 lagi kini sedang menjalani kuarantin di rumah dan hospital.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, rata-rata mereka yang terlibat mempunyai kontak rapat dengan pesakit Covid-19 dan juga terdedah dengan orang kena tahan (OKT) yang positif wabak itu.

Iklan
Iklan

"Sepanjang pandemik Covid-19, seramai 125 anggota termasuk pegawai polis terkesan dengan wabak berkenaan, manakala terbaru masih ada beberapa Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) yang dikesan menerima OKT positif yang sedang menunggu keputusan ujian dan sebagainya," katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.

Terdahulu, beliau hadir membuat pemantauan di sekatan jalan raya (SJR) SJR di Tunjong yang merupakan kolaborasi Op Covid-19 PDRM dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di sini.

Iklan

Hadir sama, Pengarah JPJ Negeri Kelantan, Hanif Yusabra Yusuf.

Shafien Mamat

Sementara itu, dalam perkembangan lain, ketika ditanya mengenai jumlah tangkapan yang dilakukan sepanjang Op Khazanah tahun lalu, Shafien berkata, lima kumpulan berjaya ditumpaskan melibatkan rampasan pelbagai hidupan liar dengan nilai keseluruhan bernilai RM944,000.

Iklan

"Kita telah mengadakan lima operasi tahun lalu bersama agensi Perhilitan (Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara) dan Pasukan Gerakan Am yang berada di sempadan.

"Dalam tempoh itu, seramai 16 orang ditangkap dan pelbagai hidupan liar dirampas seperti burung murai batu, harimau dan macam-macam lagi," katanya.

Katanya, kesemua kes ini diambil tindakan di mana lima kumpulan tersebut terdiri daripada dua kumpulan warga asing dan tiga kumpulan dari warga tempatan.

"Kita juga berharap kerjasama dan input daripada semua pihak terutamanya orang ramai bagi memastikan kita dapat membanteras masalah ini dari semasa ke semasa," katanya.