KOMUNITI di taman perumahan di daerah ini mengusahakan kawasan zon penampan bagi tujuan beriadah dengan menanam sayuran disamping mengeratkan silaturahim.
Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Kampung Padang Jaya, Hazani Zamani Hussin berkata, seramai 12 penduduk di taman perumahan itu memulakan projek Pertanian Bandar di taman perumahan berkenaan.
Menurutnya, projek yang bermula sekitar November 2015 itu pada awalnya untuk beriadah sambil mengindahkan jalan masuk ke taman perumahan.
"Namun, selepas itu baru kami berkolaborasi dengan Pejabat Pertanian Daerah Kuantan serta Jabatan Perpaduan Negara Dan Intergrasi Nasional (JPNIN).
"Hasil tanaman dimakan sendiri, dijual kepada individu, restoran dan warung berdekatan serta turut sedekahkan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.
Pelbagai sayuran ditanam di kawasan itu termasuk cili, terung, kangkung, bendi dan roselle.
Dalam pada itu, Hazani Zamani berkata, dua agensi terbabit memberi sokongan penuh atas usaha KRT Padang Jaya.
"Projek kami sering dipantau oleh pihak berkaitan agar tidak terbengkalai atau terbiar. Malah, pihak KRT sendiri memastikan projek ini sentiasa di jaga rapi demi menjaga imej KRT Taman Kampung Padang Jaya.
"Kami menyokong jika ada komuniti di taman perumahan mahu melaksanakan projek seperti ini di kawasan rumah mereka,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi KRT Bukit Rangin Perdana 2, Khalil Anwar Alias, 33, mengakui menyokong aktiviti penanaman sayur di kediaman mereka.
"Ia bukan sahaja dapat mengurangkan kos pembelian bahan mentah tetapi boleh menjadi sumber pendapatan alternatif kepada penduduk.
"Namun begitu, kebanyakan penduduk kurang berminat mengusahakan kebun di sekeliling rumah mungkin kerana kekangan masa dan pengetahuan berkenaan ilmu pertanian,” katanya.
Bagaimanapun jelasnya, di kawasan taman perumahannya, terdapat beberapa penduduk mengusahakan kebun sendiri di halaman rumah mereka.
"Pendek kata, perlu minat dan ketekunan untuk mengusahakan kebun kecil di sekitar kawasan rumah,” katanya.