ALOR SETAR - Majlis Pengetua Sekolah Menengah Malaysia (MPSM) Kedah mengadakan kolaborasi antara dua negara dengan tiga sekolah di New Delhi India sejak 29 Januari hingga 4 Februari lalu.
Pengerusi program merangkap Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Malek Hassan berkata, majlis lawatan dan perkongsian itu berjalan dalam suasana penuh gilang-gemilang.
Katanya, MPSM Kedah diwakili 20 pengetua sekolah negeri Kedah manakala tiga sekolah India yang terlibat ialah St Mark’s sr Secondary School, Meera Bagh, Delhi; St Mark’s Girls Secondary School, Meera Bagh, Delhi dan SD Public School.
"Alhamdulillah, pertemuan ini adalah suatu platform bagi merealisasikan agenda pendidikan untuk bekerjasama dalam pembelajaran dan pengajaran bagi mata pelajaran bahasa Inggeris, Sains, Matematik dan ICT," katanya.
Menurutnya, program berkenaan bersesuaian dengan kehendak Kementerian Pendidikan yang menilai pembelajaran masa kini melalui kemenjadian murid.
"Malah, pengetua sekolah juga perlu didedahkan dengan proses pembelajaran bersifat keterbukaan," katanya.
Sementara itu, Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Seri Indera Putera, Ayer Hitam, Azizah Ibrahim berkata, dalam meningkatkan mutu pendidikan di sekolah, kolaborasi antara dua negara menjadi suatu keperluan bagi meneliti dan mengkaji tahap pembelajaran yang bersifat global.
"Sesungguhnya program ilmu sebegini amat berguna untuk percambahan ilmu dan meningkatkan kerjasama antara dua negara.
"Program sebegini perlu diberi perhatian bagi membuka minda pengetua sekolah masa kini untuk melihat sejauh mana jaringan dengan negara luar dapat membantu dari segi idea dan pemikiran bagi menilai tahap kematangan anak-anak masa kini," katanya.