Barang kemas mendiang tidak hilang

Iklan

SEREMBAN - Dakwaan seorang waris kononnya barang kemas yang dipakai oleh mendiang ibu mereka semasa menerima rawatan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban hilang selepas meninggal dunia adalah tidak tepat.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datin Dr Harlina Abul Rashid berkata, isu kehilangan barang kemas sebenarnya tidak berlaku.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pihak hospital telah mengambil maklum isu berkenaan dan siasatan telah dijalankan serta-merta.

"Makluman dan siasatan awal pihak kami mendapati pengadu adalah waris kepada pesakit yang telah meninggal dunia pada hari yang sama dia dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Iklan

"Hasil siasatan mendapati barang kemas tersebut tidak hilang dan berada dalam simpanan pihak hospital dengan selamat. Semua set barang kemas telahpun dikembalikan kepada waris pada jam 4.30 petang hari ini (Selasa)," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Juruteknik dakwa barang kemas mendiang ibu hilang di hospital

Iklan

Menurutnya, jenazah mendiang juga telah selamat diserahkan kepada waris pada jam 9.30 pagi Isnin setelah proses pengecaman mayat dilakukan di Jabatan Forensik, Hospital Tuanku Jaafar, Seremban.

Katanya, perjumpaan bersama ahli keluarga mendiang juga telah diadakan petang Selasa bagi menjelaskan situasi yang telah berlaku dan pihak waris juga telah berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan.

"Sehubungan itu, isu yang ditularkan di media massa tersebut telah diselesaikan dengan baik," katanya.

Terdahulu, pada Isnin Sinar Harian melaporkan seorang juruteknik membuat laporan polis selepas barang kemas dipakai ibunya hilang sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Tuanku Jaafar Seremban pada Ahad.

Menurut laporan polis itu, anaknya, T Narenthiran, 31, mendakwa ibunya masih memakai set perhiasan emas ketika dia dan kakaknya membawa ibu mereka ke bahagian kecemasan setelah mengalami demam dan kesukaran bernafas sebelum meninggal dunia.

Namun, barang kemas itu didapati hilang sebaik sahaja mereka menuntut mayat ibunya.