Rasuah dalam bola: Integriti jadi penentu

Iklan
B Sathianathan

SHAH ALAM - Jenayah yang membabitkan salah laku rasuah dikenal pasti berlaku dalam pelbagai bidang termasuk industri sukan negara.

Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan berkata, beliau tidak menafikan perkara tersebut kerana gejala rasuah dalam industri sukan khususnya bola sepak dilihat sangat meruncing pada era 80-an dan 90-an.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun menurutnya, kini gejala itu hampir berjaya dikekang dan industri bola sepak dilihat semakin pulih daripada cengkaman rasuah.

"Tapi itu tidak bermakna kita semua boleh bersenang-lenang kerana masih terdapat banyak faktor yang boleh menjadi punca untuk rasuah berleluasa semula.

Iklan

"Saya ambil contoh berkenaan isu gaji kerana ia amat sensitif, apatah lagi kalau pemain kita tidak dibayar sehingga tempoh lima atau enam bulan.

"Kalau isu ini dipandang ringan, amat mudah untuk gejala rasuah ini timbul balik,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Iklan
Pemain bola sepak negara perlu menjaga integriti yang tinggi bagi mengelakkan unsur rasuah 'hidup' dalam industri sukan.

Sathianathan berkata, berdasarkan pemerhatiannya, pemain bola sepak sekarang amat berbeza dan dilihat begitu berdedikasi dengan latihan dan kerjaya mereka.

"Mereka amat berhati-hati memastikan diri tidak terjebak kerana tahu rasuah hanya akan menyusahkan dan memusnahkan karier mereka,” katanya.

Menurutnya, amat penting juga untuk semua pihak termasuk pengurusan, jurulatih serta pemain bola sepak untuk mempunyai integriti yang tinggi dalam diri masing-masing.

Beliau berkata, bagi pemain muda khususnya mereka perlu mengambil berat isu integriti ini jika benar-benar mahu menjadikan bidang bola sepak sebagai karier mereka.

"Jangka masa karier pemain bola sepak tak lama antara 10 ke 12 tahun... pastikan anda ada integriti, imej bersih untuk kekal sebagai pemain profesional.

"Jika ada masalah terus rujuk kepada jurulatih, pengurusan dan jangan ambil jalan singkat dengan terjebak rasuah,” katanya.