GEORGETOWN - Isu rasuah di negara ini diibaratkan seperti 'isu tidak pernah habis' walaupun pelbagai tindakan diambil oleh pihak berkuasa khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta agensi berkaitan dengannya.
Rasuah akan menjadi lebih bahaya daripada pandemik Covid-19 jika ia dibiar berterusan menular dalam kalangan masyarakat kita.
Oleh demikian, kerajaan digesa mengambil tindakan tegas yang drastik dari sudut perundangan sebagai vaksin untuk mencegah rasuah dan bukannya sekadar memberi amaran sahaja.
Aktivis politik, Rahmad Isahak berkata, amalan rasuah dalam kalangan penjawat awam juga dilihat semakin membimbangkan apabila setiap hari pasti ada laporan mengenainya di dada akhbar.
Menurutnya, kesemua mereka yang terlibat secara langsung dalam jenayah rasuah boleh diklasifikasikan sebagai warganegara Malaysia yang ingin mencemarkan imej pentadbiran dan ekonomi negara.
"Saya tidak berminat untuk bercakap soal statistik kerana setiap masa, jumlah tangkapan serta pendakwaan terus meningkat. Apa yang amat mendukacitakan adalah individu yang dituduh sebagai penerima rasuah majoritinya adalah kaum Melayu yang beragama Islam.
"Rasuah di negara kita kini, semakin parah, malah lebih parah dari pandemik Covid-19. Bukan sahaja dalam kalangan penjawat awam, ahli politik malah dalam kalangan masyarakat itu sendiri. Ia amat menyedihkan.
"Contoh paling ketara, apabila akhbar Sinar Harian telah membongkar isu kartel daging import yang dikatakan telah puluhan tahun menggunakan logo halal hasil daripada penyembelihan dari negara yang tidak diiktiraf oleh negara. Bagaimana perkara ini boleh berlaku jika tiada unsur rasuah dalam kalangan pihak berkuasa?" katanya ketika dihubungi Sinar Harian baru-baru ini.
Beliau berkata, banyak lagi kes membabitkan penjawat awam yang telah dibongkarkan termasuk sekumpulan pegawai Jabatan Imigresen Malaysia yang memalsukan cop sehingga mampu mengaut keuntungan untuk hidup mewah.
"Di peringkat kerajaan tempatan juga berlaku kes rasuah ini apabila ada unsur salah guna kuasa terutamanya dalam pemberian kelulusan serta tindakan yang mengatasi kehendak perancangan antaranya meluluskan pembangunan di lereng bukit, kawasan tadahan air, kawasan pertanian sehingga menyebabkan berlakunya banjir kilat.
"Selain itu, ada dalam kalangan mereka juga memberikan kelulusan yang melampaui garis panduan dalam soal kepadatan serta ketumpatan unit-unit kediaman sama ada di atas tanah persendirian atau kerajaan. Isu seperti ini yang amat membimbangkan kerana kesannya akan ditanggung rakyat," katanya.
Rahmad berkata, kerajaan diminta untuk mempertimbangkan untuk mewujudkan mahkamah khas rasuah agar kes yang dibawa ke muka pengadilan dapat dipercepatkan perbicaraan.
"Mahkamah ini bagi memastikan semua hakim yang dilantik hanya mengendalikan kes rasuah semata-mata. Ia bertujuan agar semua kes yang dibawa ke mahkamah dapat dipercepatkan perbicaraan sekaligus dijatuhi hukuman.
"Kaedah mahkamah khas seperti ini sudah wujud seperti untuk kes juvana serta kes harta intelek, malah sebelum ini sekitar tahun 80-an juga pernah diwujudkan mahkamah khas untuk tuntutan kes tanah. Dengan kaedah ini, saya rasa ia praktikal untuk menjaga maruah, integriti selain bebas dari campur tangan politik," katanya.