Kelab akur Liga-M ditunda

Iklan
Saingan Liga-M 2021 dijadualkan bakal berlangsung pada 5 Mac depan.

RATA-RATA kelab bersetuju dengan keputusan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menunda Liga Malaysia (Liga-M) 2021 yang sepatutnya bermula 26 Februari ini kepada 5 Mac depan.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA), Ahmad Roslee Hamzah berkata, pihaknya tidak mempunyai sebarang rungutan berhubung keputusan yang dibuat MFL itu.

Iklan
Iklan

Malah beliau memberitahu kebanyakan pemain Melaka United baru sahaja memperbaharui kontrak masing-masing sekali gus memberikan mereka lebih masa untuk membuat persediaan.

"Bagi saya, penundaan aksi Liga-M ini tidak memberikan masalah kepada pasukan, jika ada pun ia adalah masalah sama yang dihadapi oleh pasukan-pasukan lain.

Iklan

"Masa bermula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua minggu lalu, pemain pun baru sekali dua berlatih, jadi segala-galanya masih di peringkat awal,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Pendapat sama turut disokong Naib Presiden Bola Sepak Kelantan (KAFA), Ahmad Muzakkir Hamid yang menganggap penundaan itu satu keputusan baik khususnya pada ketika pandemik Covid-19 masih menular di negara ini.

Iklan

Ahmad Muzakkir memberitahu, penundaan itu memberi peluang kepada setiap pasukan yang terkesan susulan PKP untuk lebih bersedia sebelum sepak mula Liga-M nanti.

"Bagi saya, memang bagus tunda Liga-M buat seketika sebab kebanyakan pasukan tidak dapat menjalani latihan di padang disebabkan pelaksanaan PKP.

"Selain itu dari segi gaji, saya tak timbul sebab kami telah mencapai persetujuan sebelum ini. Apa pun, kami kena akur dengan penundaan ini,” katanya.

Koordinator Penang FC, Dr Amar Pritpal Abdullah pula berkata, pihaknya tidak berdepan masalah dengan penundaan berkenaan dalam usaha memastikan keselamatan semua pihak terutamanya pemain dan pegawai pasukan.

"Jika saingan Liga-M, diteruskan mengikut jadual asal, besar kemungkinan Penang FC tidak dapat menjalani latihan dengan sempurna, jadi itu yang memberi masalah.

"Kami ikut saja keputusan MFL. Dalam keadaan sekarang, kes (Covid-19) masih tinggi, jadi kami juga was-was jika Liga-M bermula sepertimana yang ditetapkan sebelum ini.

"Sekarang pun pemain berlatih di rumah dan kita akan adakan kembali latihan seperti biasa sekiranya mendapat kebenaran daripada MFL dan juga pihak kerajaan,” ujarnya.