KUANTAN - Tindakan seorang wanita menyerahkan maklumat perbankan kepada 'pegawai polis' membawa padah apabila wang simpanan dalam lima akaun banknya berjumlah RM81,133 lesap dipindahkan pihak lain pada Ahad.
Mangsa berusia 36 tahun itu mendakwa diarah berbuat demikian sebagai proses siasatan setelah dikaitkan dengan kes tunggakan cukai dan pengubahan wang haram.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kes penipuan ke atas mangsa dipercayai melibatkan beberapa individu yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri dan pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang.
Menurutnya, nasib malang menimpa mangsa berlaku selepas dia menerima panggilan daripada seorang wanita memperkenalkan diri sebagai pegawai LHDN.
"Mangsa dimaklumkan bahawa dia mempunyai tunggakan cukai selama 15 bulan berjumlah lebih RM38,000 bagi syarikat yang didaftarkan atas namanya.
"Mangsa menafikan kaitannya dengan syarikat tersebut sebelum panggilan disambung kepada beberapa pihak lain kononnya bagi membantu menyelesaikan kes dihadapi wanita itu," katanya melalui satu kenyataan pada Rabu.
Mohd Wazir berkata, mangsa yang berjaya diperdayakan telah diarah berurusan dengan seorang 'pegawai polis' bagi tujuan semakan dan membuat laporan polis berhubung kes cukai itu.
"Seperti modus operandi sindiket penipuan sebelum-sebelum ini, mangsa panik kononnya turut dikehendaki polis kerana terlibat dalam kes pengubahan wang haram.
"Mangsa diberi tawaran untuk menyelesaikan kes itu dengan syarat perlu mengakses satu aplikasi dan menyerahkan maklumat semua akaun banknya untuk proses siasatan," katanya.
Mohd Wazir berkata, bagi mengelak berdepan tindakan, mangsa akur dan menuruti arahan itu.
"Pada malam hari sama, mangsa membuat semakan melalui aplikasi 'who call' dan mendapati individu menghubunginya sebelum ini rupanya 'scammer' berdasarkan nombor telefon digunakan.
"Syak telah ditipu, mangsa cuba membuat semakan semua akaun banknya secara dalam talian namun gagal untuk mengaksesnya.
"Mangsa kemudian menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) dari pihak bank berhubung transaksi pindahan wang dari akaun banknya ke akaun bank tidak dikenali membabitkan jumlah keseluruhan RM81,133," katanya.
Menurutnya,susulan kejadian itu, mangsa tampil membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Lipis pada Selasa dan kes kini dibuka kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.