Cat nombor bot elak ditahan

Iklan
Dimin (kanan) menunjukkan nombor pendaftaran bot yang diubah.

KUALA KEDAH - Helah nelayan mengecat nombor pendaftaran bot dengan yang baharu selepas menceroboh dan menangkap ikan di kawasan larangan di kawasan perairan laut Kuala Sala, dekat sini gagal mengaburi pihak berkuasa.

Difahamkan, kegiatan bot nelayan kelas B1 dan C memasuki zon larang terbongkar dalam operasi oleh sepasukan seorang pegawai dan 11 anggota lebih kurang jam 3 pagi semalam .

Iklan
Iklan

Timbalan Komander Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Satu (WI) Batu Uban, Superintendan Dimin Awang berkata, tiga bot kelas C dan sebuah bot kelas B1 dirampas dalam operasi itu.

Menurutnya, pihaknya mengesan sebuah bot pukat tunda kelas B1 dan dua bot pukat tunda kelas C sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan di kawasan berkenaan ketika membuat rondaan kira-kira jam 3 pagi.

Iklan

"Hasil pemeriksaan, kita mendapati bot berkenaan telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 apabila menangkap ikan kurang dari jarak batu nautika disyaratkan dalam syarat sah lesen.

"Sehubungan itu, empat nelayan warga tempatan dan lapan warga Thailand berusia antara 30 hingga 50 tahun ditahan, manakala bot berkenaan dihantar ke Jeti Pengkalan Marin Kuala Kedah untuk tindakan lanjut,” katanya.

Iklan

Beliau berkata, dalam operasi sama, dua bot pukat tunda lolos selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa di kawasan berkenaan.

"Namun salah sebuah bot yang meloloskan diri dapat dikesan kira-kira jam 12.30 tengah hari di kawasan pelantar ikan Kuala Kedah melalui kecekapan pasukan polis marin dan maklumat.

"Melalui pemeriksaan, pihak kami mendapati nombor pendaftaran pada bot berkenaan diubah dan diwarnakan dengan cat hitam bagi mengelakkan daripada dikesan,” katanya.

Dimin berkata, hasil tangkapan kira-kira 1,000 kilogram (kg) ikan berkenaan dianggarkan bernilai kira-kira RM7,000 dan nilai keseluruhan rampasan bot pukat tunda dan barang rampasan sekitar RM1.35 juta.

"Berdasarkan pemerhatian, kita dapati ada nelayan berkenaan pernah ditahan, namun masih tidak serik dan mengulangi kesilapan yang dilakukan,” katanya.

Katanya, pihaknya memandang serius isu bot nelayan menceroboh zon larangan kerana ia dikhuatiri menjejaskan hasil tangkapan nelayan tradisional.

Menurutnya, berdasarkan syarat, bot kelas B1 hanya dibenarkan menangkap ikan lapan batu nautika ke atas, manakala bot kelas C perlu menangkap ikan 12 batu nautika ke atas.