SHAH ALAM - Setiap tekanan yang dilalui perlulah dihadapi dengan tenang selain perlu bijak mengurusnya agar ia tidak menjadi ‘barah’ yang membinasakan secara senyap.
Muslim Chaplain/ Kaunselor di Institut Jantung Negara (IJN), Khairil Anwar Abdul Latif berkata, sebagai umat Islam, mereka perlu sabar dan berlapang dada dalam menghadapi tekanan.
"Mengambil contoh apa yang berlaku kepada Nabi Luth ketika menggesa kaumnya untuk berhenti mengamalkan gaya hidup songsang di samping menyampaikan seruan-seruan ALLAH tetapi mereka mengabaikannya dan malah mereka mengingkari kenabiannya.
"Namun Nabi Luth terus bersabar dengan tekanan yang dihadapi dan tidak putus-putus memberi nasihat serta teguran kepada kaumnya sehinggalah ALLAH datang memberikan pertolongan kepadanya.
"Justeru, dalam apa juga keadaan yang dihadapi, kita perlu banyakkan bersabar selain bina kekuatan dalam diri sendiri. Bila datang waktu, ALLAH akan datangkan pertolongan,” katanya semasa program Wacana Al-Quran siri ke-72 yang diadakan secara langsung di Studio F, Kumpulan Karangkraf, di sini pada Selasa.
Wacana berkenaan dibawakan oleh CELPAD IIUM dengan kerjasama Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, IIUM CENTRIS, IIUM Disability Services Unit (DSU) dan Sahabat YADIM IIUM dengan misi MengQURANkan Bangsa, MengIKHLASkan Ummah melalui Baca, Faham dan Amal.
Program itu turut menampilkan Ketua Kluster Psikometrik Universiti Malaya (UM), Dr Harris Shah Abd Hamid sebagai panelis manakala Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail dan qari jemputan, Abdul Khair Jalil yang memperdengarkan bacaan surah Hud ayat 80 hingga 81.
Turut berkongsi pengalaman, pesakit ‘anxiety disorder’ Nazia Suhaimi yang disahkan mengalami penyakit itu sejak Disember 2017.
Mengulas lanjut, Khairil Anwar berkata, sebagai orang Islam, ‘mendekatkan’ diri pada ALLAH adalah rawatan terbaik untuk mengatasi tekanan.
"Bergantunglah kepada ALLAH kerana ALLAH sebaik-baik pertolongan selain perbanyakkan membaca al-Quran dan berzikir untuk memberikan ketenangan jiwa,” katanya.