MANILA - Presiden Filipina, Rodrigo Duterte menegaskan kepada rakyat agar menikam mana-mana penipu yang menggunakan namanya dan pegawai Kabinet untuk tujuan rasuah.
Berdasarkan laporan The Times, Duterte memberi amaran agar tidak berurusan dengan orang yang menggunakan namanya atau pegawai kanan kerajaan lain atas tujuan mendapatkan kontrak perniagaan dan mempercepat pemprosesan.
"Tikam sahaja. Jangan menembak kerana ia bising dan anda mudah tertangkap," katanya turut menggambarkan pengamal rasuah sebagai 'parasit' dan 'lintah'.
Beliau berkata demikian pada satu perutusan mingguan yang disiarkan di televisyen bagi memaklumkan perkembangan berhubung tindak balas kerajaan terhadap pandemik Covid-19.
Komennya itu kemungkinan akan menimbulkan kemarahan kumpulan hak asasi manusia dan pengkritik kerajaan.
Ini kerana Duterte tidak layak untuk pemilihan semula presiden apabila penggalnya berakhir tetapi dengan memenuhi manifesto janji kempen untuk membanteras gejala rasuah dapat meningkatkan peluang penggantinya untuk dipilih dalam pemilihan pada 2022 nanti.
Sebelum ini, jurucakap Duterte pernah mengatakan bahawa presidennya sudah biasa menggunakan bahasa berbunga, hiperbola atau lawak.
Ribuan orang yang disyaki pengedar dadah telah terbunuh dalam kempen anti-narkotik khas Duterte itu.
Sementara itu, jurucakap presiden, Harry Roque tidak memberikan sebarang respons terhadap kenyataan yang dikeluarkan Duterte.