SHAH ALAM - Pemuda Pas menggesa agar kos ujian calitan (swab test) Covid-19 yang dilaksanakan di premis kesihatan swasta dapat dikurangkan.
Ketuanya, Senator Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, pengurangan itu perlu diberikan khususnya melibatkan beberapa kategori rakyat yang bekerja di sektor perkilangan, komoditi dan perladangan.
Iklan
Iklan
Beliau berkata, pertambahan kes positif Covid-19 ketika ini juga memberi beban kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam proses pengesanan kontak dan menjalankan ujian saringan.
"Pada ketika ini, kos ujian PCR adalah lebih daripada RM300 berbanding kos RTK yang jauh lebih murah. Kos yang tinggi ini merangkumi kos makmal, sut perlindungan, caj perkhidmatan serta kos sampingan seperti logistik," katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Rabu.
Justeru katanya, dalam menghadapi keperluan ujian calitan itu yang meningkat, adalah penting untuk diusahakan agar kos ujian swab yang dilaksanakan di premis kesihatan swasta dapat dikurangkan.
"Pemuda Pas memohon kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meneliti isu ini agar rakyat pelbagai lapisan yang memerlukan ujian ini lebih mampu untuk menjalani ujian ini dalam masa terdekat.
"Kami optimis bahawa dengan kerjasama KKM dengan hospital swasta kini dalam isu mendapatkan bantuan fasiliti hospital swasta dapat diperluaskan kepada isu caj ujian Covid-19," katanya.