GEORGETOWN - Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (PHEB) kesal dengan penganjuran perarakan pedati perak yang dilakukan oleh pengurusan kuil Nattukotai Chettiar pada awal pagi Rabu.
Pengerusinya, P Ramasamy berkata, perarakan itu diadakan secara haram dan melanggar undang-undang kerana tidak mendapat kelulusan rasmi daripada pihak berkuasa.
Menurutnya, penganjuran perarakan itu juga jelas bertentangan dengan prosedur operasi standard (SOP) perayaan Thaipusam yang ditetapkan PHEB, kerajaan negeri Pulau Pinang dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum ini.
"Kita kesal kerana pengurusan kuil Nattukotai Chettiar telah membelakangkan aspek keselamatan dan kesihatan seluruh rakyat khususnya penduduk Pulau Pinang dengan mengadakan perarakan pedati pagi tadi.
"Disebabkan itu kita menggesa agar pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pengurusan kuil Nattukotai Chettiar yang jelas mengadakan perarakan pedati perak secara haram," katanya pada sidang akhbar di sini pada Rabu.
Difahamkan perarakan pedati perak yang dianjurkan pihak pengurusan pengurusan kuil Nattukotai Chettiar bermula kira-kira jam 3.30 pagi pada Rabu.
Perarakan itu bermula dari Jalan Penang di sini menuju ke kuil di Jalan Air Terjun kira-kira jam 6 pagi pada hari yang sama.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan PHEB berpegang dengan pendiriannya untuk tidak membenarkan sebarang perarakan sempena perayaan Thaipusam di Pulau Pinang yang akan disambut oleh kaum India pada Khamis.
ARTIKEL BERKAITAN PHEB tetap tidak benarkan perarakan Thaipusam di Pulau Pinang
Ramasamy sebelum ini berkata, pihaknya tetap dengan pendirian itu selepas mengambil kira keselamatan rakyat susulan kes penularan Covid-19 semakin meningkat ketika ini.
Menurutnya, PHEB amat menitik beratkan keselamatan rakyat kerana pandemik Covid-19 amat bahaya terhadap kesihatan.
Mengulas lanjut mengenai perarakan pedati yang diadakan itu, Ramasamy yang juga Timbalan Ketua Menteri II berkata, tindakan pihak pengurusan kuil tersebut yang membelakangkan undang-undang seolah-olah mencabar PHEB dan kerajaan negeri.
Katanya, perkara itu akan dibawa untuk dibincangkan di peringkat jawatankuasa PHEB dan kerajaan negeri supaya tindakan sewajarnya dapat diambil.
"PHEB juga boleh mengambil tindakan termasuk mengambil alih pengurusan kuil itu sekiranya terbukti terdapat penyalahgunaan kuasa dalam pihak pengurusan kuil tersebut," katanya.