Geng Habib palsu slip ujian Covid-19 di KLIA tumpas

Iklan
Imran (kanan, depan) menunjukkan ujian slip saringan Covid-19 palsu yang dirampas susulan tumpasnya sindiket Geng Habib baru-baru ini.

SEPANG - Geng Habib yang aktif menjalankan kegiatan sindiket pemalsuan slip saringan Covid-19 untuk penumpang warga asing yang hendak pulang ke negara asal sejak Ogos tahun lalu akhirnya tumpas.

Sindiket yang didalangi seorang lelaki warga Pakistan berusia 27 tahun itu menjual setiap slip saringan palsu dengan bayaran RM300 bagi penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Imran Abd Rahman berkata, operasi ini berjaya menahan lima warga Pakistan berusia 27 hingga 33 tahun dalam serbuan berasingan sejak 20 Januari lalu hingga Isnin lalu.

"Penahanan pertama adalah melibatkan dua lelaki Pakistan di KLIA yang akan berlepas pulang ke negara menaiki pesawat Emirates.

Iklan

"Pemeriksaan pada slip saringan Covid-19 mereka didapati adalah palsu dan suspek mendakwa telah membelinya daripada seorang lelaki di Klang, Selangor," katanya dalam sidang akhbar di Bangunan AMC di sini pada Rabu.

Imran berkata, sepasukan anggota Risikan dan Operasi Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) IPD KLIA kemudian bertindak menahan seorang lelaki Pakistan yang berperanan sebagai 'orang tengah' di Telok Gong Klang pada 22 Januari.

Antara barang rampasan susulan tumpasnya sindiket Geng Habib baru-baru ini.

Iklan

Katanya, soal siasat kemudian menahan rakan suspek di Taman Tampoi Indah 2, Johor Bahru pada hari yang sama.

"Susulan itu, polis berjaya mengesan seorang lagi lelaki di Bandar Baru Seri Petaling, Selangor pada Isnin yang berperanan sebagai dalang," katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati sindiket ini dipercayai mensasarkan warga Pakistan yang hendak pulang ke negara asal sebagai pembeli. Pembeli ini akan berurusan dengan 'orang tengah' sebelum dalang terbabit menguruskan slip tersebut.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya masih menyiasat sekiranya terdapat pembeli di kalangan warganegara lain.

"Kita percaya sindiket bergerak tanpa pembabitan orang dalam di klinik atau hospital. Mereka bergerak sendiri dan telah menjual slip palsu ini terhadap kira-kira 50 pembeli.

"Kesemua suspek kini telah ditahan reman untuk siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.