WASIYYAH Shoppe Berhad, syarikat amanah patuh syariah terbesar di Malaysia dengan kepakaran di dalam bidang penyediaan dan perlaksanaan hibah mengumumkan bahawa sehingga 31 Disember 2020, ia telah membantu sejumlah 45,000 orang Islam menyediakan dokumen hibah untuk hartanah yang masih bercagar (hartanah dalam pembiayaan).
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ariffin Sabirin berkata, Wasiyyah Shoppe Berhad ialah syarikat amanah patuh syariah pertama di Malaysia yang memperkenalkan kaedah hibah hartanah bercagar semenjak 2015 dan merupakan penyedia dokumen terbanyak bagi segmen pasaran ini.
"Kami mula memperkenalkan kaedah hibah pada 2004 sebaik sahaja mula beroperasi namun kaedah hibah untuk hartanah bercagar ini kami perkenalkan secara agresif mulai 2015,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurutnya, Wasiyyah Shoppe Berhad memperkenalkan perkhidmatan tersebut kerana ia mendapati wujud keperluan yang sangat mendesak bagi ibu bapa yang membeli rumah secara pinjaman untuk menghibahkan rumah mereka anak-anak yang masih di bawah umur.
Katanya, apabila salah seorang atau kedua-dua pasangan ini meninggal dunia, rumah yang masih bercagar itu menjadi harta pusaka dan mempunyai hak waris-waris mengikut hukum faraid ke atasnya.
"Melalui pengalaman operasi 17 tahun, kami mendapati kebiasaannya pasangan dan anak-anaklah yang akan bertungkus lumus melangsaikan baki pinjaman kerana mereka menetap di rumah tersebut. Waris-waris faraid yang lain biasanya hanya lebih berminat untuk menuntut hak selepas baki pinjaman dilangsaikan,” kata Ariffin.
Perkhidmatan hibah hartanah bercagar Wasiyyah Shoppe Berhad membantu mengatasi cabaran ini.
Hartanah yang telah dihibahkan tidak akan menjadi harta pusaka dan tidak perlu diagihkan kepada waris mengikut hukum faraid. Ia menjadi milik penerima hibah sepenuhnya.
Sebagai institusi berteraskan ilmiah, Wasiyyah Shoppe Berhad mendanai penyelidikan yang dibuat bersama Universiti Kebangsaan Malaysia berkaitan tajuk ini pada 2017.
Dapatan dari penyelidikan ini kemudiannya diaplikasi sepenuhnya ke dalam perkhidmatan hibah hartanah bercagarnya.
"Sebagai penyedia dan pelaksana hibah hartanah bercagar paling berpengalaman di Malaysia, kami memegang prinsip kepatuhan syariah tanpa kompromi dalam pelaksanaan hibah kami. Semua kes hibah kami menggunakan instrumen patuh syariah dan dikuatkuasakan juga melalui Mahkamah Syariah,” katanya lagi.
Bagi memberi peluang lebih ramai orang Islam menghibahkan hartanah mereka yang masih dalam cagaran dalam musim Perintah Kawalan Pergerakan ini, Wasiyyah Shoppe memberikan tawaran diskaun 50 peratus sehingga 28 Februari 2021.