SEREMBAN – Individu yang datang membuat saringan Covid-19 di Hospital Mawar Medical Center (MMC) di sini meningkat sehingga tiga kali ganda dalam tempoh dua minggu ini.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MMC, Dr Ong Chiew Ping berkata, dianggarkan purata individu yang datang membuat saringan di hospital itu mencecah sehingga 150 sehari berbanding 30 orang sebelum ini.
Menurutnya, keadaan itu menjadi lebih ketara apabila terdapat kluster baharu dilaporkan sekali gus menunjukkan masyarakat kini mula bimbang dengan peningkatan kes yang berlaku.
"Saya boleh katakan 99.9 peratus yang datang membuat saringan ini tiada sebarang simptom, tapi mereka buat keputusan jalani saringan kerana bimbang dijangkiti.
"Alasan mereka, kerana pernah ke lokasi yang ada kluster atau terdapat pengunjung di sesuatu tempat yang pernah dikunjungi disahkan positif Covid-19,” katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, Chiew Ping menyarankan orang awam agar memilih saringan yang menggunakan kaedah Tindak Balas Rantai Polimer (PCR) berbanding penggunaan Kit Ujian Rapid Antigen(RTK-Ag).
Jelasnya, meskipun bayaran untuk PCR lebih mahal, namun tahap sensitiviti atau keberkesanannya adalah 99 peratus berbanding RTK hanya 80 peratus.
"Kaedah PCR menggunakan dua swab iaitu melalui sampel di hidung dan tekak. Keputusan ujian yang boleh diperoleh di hospital kami dalam tempoh 24 jam atau paling cepat empat jam.
"Bagi RTK pula, hanya mengambil satu swap saja iaitu di hidung dan keputusan ujian boleh diperoleh dalam tempoh 30 minit atau satu jam saja.
"Walaupun keputusannya boleh diperoleh lebih cepat, tapi tahap sensitivitinya hanya 80 peratus dan berpotensi keputusan saringan RTK yang negatif boleh jadi positif bila melakukan PCR," katanya.
Kongsi Chiew Ping berkata, situasi itu pernah berlaku terhadap seorang individu yang membuat saringan secara RTK di mana pada awalnya negatif Covid-19 namun disahkan positif apabila melakukan saringan PCR.
Katanya, perkara itu berlaku selepas individu terbabit didapati mempunyai gejala seperti demam, batuk selain pemeriksaan imbasan X-Ray turut mendapati terdapat jangkitan pada paru-parunya.
"Bayangkan kalau ada banyak kes sebegini yang boleh mendedahkan risiko jangkitan kepada orang lain.
"Jadi saya ingin menasihatkan masyarakat supaya tidak terpedaya dengan harga murah ujian saringan PCR yang ada ditawarkan," katanya.