SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memaklumkan majlis akad nikah dilaksanakan secara sidang video di Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 13 Januari lalu di seluruh negeri Selangor.
Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad dalam satu kenyataan berkata, inisiatif tersebut diambil sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengekang penularan wabak Covid-19 dalam kalangan pengantin dan individu yang terlibat pada majlis terbabit.
Menurutnya, majlis tersebut dilaksanakan dengan mengambil kira beberapa faktor tertentu tetapi mengutamakan perkara wajib dan rukun nikah termasuk memastikan keselamatan mereka yang terlibat.
"Melalui kaedah sidang video, Pendaftar Perkahwinan yang berada di PAID menyaksikan lafaz ijab dan qabul oleh wali dan pengantin lelaki yang berada di rumah bersama pengantin perempuan dan dua orang saksi.
"Pelaksanaan majlis akad nikah ini hanya kepada pasangan yang telah mendapat Kebenaran Berkahwin serta ada tarikh bernikah dari PAID secara temu janji.
"Sehingga kini, sebanyak 442 pasang pengantin dinikahkan di PAID secara sidang video sejak PKP dikuatkuasakan,” katanya pada Selasa.
Dalam kenyataan sama, Shahzihan berkata, JAIS telah memperluas pelaksanaan majlis akad nikah kepada Penolong Pendaftar Perkahwinan (PPP) yang bertugas di semua Masjid Pengurusan dan semua PPP dibenarkan melaksanakan pernikahan secara sidang video untuk melancarkan urusan pernikahan pasangan yang bakal berkahwin mulai 4 Februari 2021.
Oleh itu katanya, perkhidmatan kaunter secara temu janji juga telah dibuka bagi urusan tertentu di PAID sejak Isnin.
"Sebagai permulaan, sebanyak 25 urusan temu janji ditetapkan setiap hari bagi perkhidmatan kaunter yang dibuka dari jam 8 pagi sehingga 1 tengah hari.
"Kemudian, sebanyak 900 slot temu janji meliputi semua PAID telah penuh sehingga 29 Januari 2021.
"Slot temu janji yang dibuka ini juga akan diperbanyakkan dari masa ke masa seperti arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan permintaan pelanggan,” katanya.