KUALA LUMPUR – Pembaharuan polisi bagi menghapuskan karenah birokrasi, mengekang jenayah ekonomi dan meningkatkan modal insan Malaysia merupakan strategi penting yang boleh menambah baik daya saing negara di dalam usaha menarik pelaburan terus asing (FDI) kata seorang kolumnis akhbar berpengaruh.
Pankaj Kumar, yang juga bekas Ketua Pegawai Pelaburan Kurnia Insurance berkata, sebagai sebuah negara, kita perlu mengkaji semula mengapa Malaysia gagal menarik FDI yang betul.
Pada masa yang sama, juga katanya, kita juga harus menganalisis mengapa negara-negara jiran berterusan dapat menarik FDI.
"Pandemik Covid-19 tidak boleh dijadikan alasan untuk kemasukan FDI yang lemah, kerana telah terbukti negara-negara ASEAN lain berupaya menarik pelaburan baharu,” ujar beliau dalam satu kenyataan pada Rabu.
Ulasan Pankaj ini adalah susulan laporan Persidengan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD) yang menunjukkan Malaysia hanya memperoleh RM10 bilion dari segi FDI pada 2020.
Ia merupakan terendah sejak 2009, di mana FDI hanya mencatat RM5.1 bilion disebabkan krisis kewangan Global 2008.
Malah, ketika Malaysia menyaksikan penurunan besar sebanyak 68 peratus dari segi jumlah keseluruhan FDI pada tahun lalu, Laporan UNCTAD itu menunjukkan Filipina meraih kenaikan 29 peratus dari segi FDI, manakala negara ASEAN lain mempamerkan prestasi lebih baik berbanding Malaysia.
"Beberapa bulan kebelakangan ini, Indonesia telah menarik perniagaan terkemuka termasuk Hyundai yang memindahkan perniagaan bernilai RM6.27 bilion (AS$1.55 bilion) dari Malaysia dan Toyota, yang membuka usaha sama kereta elektrik bernilai RM8 bilion (AS$2 bilion). Malah Elon Musk mempertimbangkan untuk membuka kilang Tesla di Indonesia,” tambah Pankaj.
Menurut Pankaj, Malaysia memerlukan perubahan dasar awam bagi menghapuskan kerenah birokrasi dan menarik FDI berkualiti.
"Dasar-dasar berkaitan kepada mengehadkan pemilikan ekuiti asing di dalam sektor khusus serta halangan membenarkan syarikat asing membawa tenaga kerja berkemahiran tinggi mereka sendiri, juga hendaklah dikaji semula,” katanya.
Pankaj berkata, jenayah ekonomi seperti skandal kewangan, isu penyeludupan dan pasaran rokok seludup, di mana Malaysia kini memiliki insiden rokok seludup tertinggi di dunia, telah mengakibatkan para pelabur beralih ke tempat lain.
"Semestinya pelabur asing akan membatalkan niat disebabkan persepsi kes rasuah dan pelanggaran undang-undang yang berleluasa. Pelaburan mereka boleh tergadai disebabkan jenayah ekonomi yang tidak dibendung.
"Lihat industri tembakau contohnya. Kadar tinggi dagangan rokok seludup telah mengakibatkan pengilang utama rokok seperti Phillip Morris International, British American Tobacco Malaysia Berhad dan Japan Tobacco International menutup kilang mereka masing-masingnya pada 2012, 2016 dan 2017," katanya.
Beliau berkata, hampir 1,000 kakitangan kehilangan kerja dan ekosistem sokongan perniagaan dan perkhidmatan bernilai multi-bilion Ringgit hapus sama sekali.
"Inilah sebabnya mengapa Kerajaan Malaysia mesti membuat tindakan yang nekad dan menyeluruh membanteras pasaran gelap. Langkah penguatkuasaan hendaklah seiring dengan perubahan dasar bagi mengembalikan keyakinan dan kepercayaan para pelabur,” ujarnya.
Yang terakhir, katanya, Malaysia hendaklah melabur untuk meningkatkan set kemahiran dan set minda modal insani.
"Norma baharu akan membawa kita kepada cabaran dan peluang berbeza. Himpunan bakat sedia ada dan akan datang kita hendaklah berupaya untuk menerap, berinovasi dan cukup dilengkapi bagi menyaingi kehendak perubahan persekitaran bagi memberikan alasan yang terbaik bagi pertubuhan berorientasi global melabur di Malaysia,” kata Pankaj.