KUALA TERENGGANU - [DIKEMASKINI] Setelah hampir dua hari mencari, akhirnya mayat Abdul Bari Ashraf Mohd, 31, yang lemas ketika membantu menyelamatkan lima sekeluarga dalam insiden pacuan empat roda terjunam ke muara Sungai Terengganu, ditemui pagi ini.
Mayat ditemui di muka Kuala Tanjung oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dan orang awam jam 7.23 pagi ini, pada jarak 2.5 kilometer dari lokasi mangsa dipercayai lemas.
Iklan
Iklan
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Azlimin Mat Noor berkata, mayat mangsa ditemui dalam keadaan terapung dan dinaikkan sebelum dibuat pengecaman oleh ahli keluarga mangsa.
"Mayat diserahkan kepada polis jam 7.50 pagi untuk tindakan lanjut," katanya.
Dalam kejadian itu, Abdul Bari Asyraf yang sedang memancing terjun ke sungai bagi menyelamatkan lima mangsa yang berada dalam kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Storm yang meluncur sebelum terjunam ke sungai.
Bagaimanapun, Abdul Bari Asyraf yang dikatakan mengalami kejangan otot menyebabkan dia gagal mengawal keadaan sebelum kelibatnya hilang di permukaan air.
ARTIKEL BERKAITAN: Guna ROV kesan mangsa dari dasar sungai