JOHOR BAHRU - Juara bertahan Liga Super Johor Darul Ta’zim (JDT) hari ini mengesahkan mengikat dua pemain luar negara, Mauricio dos Santos Nascimento dan Aarón Niguez bagi menyempurnakan barisan skuad Harimau Selatan itu.
Pemilik kelab JDT itu sendiri, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi akaun rasmi Facebook Johor Southern Tigers bertitah selain dua pemain tersebut, pihaknya juga dalam proses menandatangani pemain luar negara dan seorang pemain tempatan yang baharu dalam masa terdekat.
"Saya sendiri telah mengikuti perkembangan beliau (pemain luar yang belum diumumkan namanya) selama setahun kerana kami tidak mampu ketika itu dengan harga pemain tersebut yang tidak berada dalam peruntukan kelab.
"Alhamdulillah, pada tahun ini adalah lebih sesuai untuk kami menandatangani beliau,” titah Tunku Mahkota Johor itu.
Baginda dalam pada itu turut memaklumkan pembinaan stadium dan ibu pejabat JDT berjalan dengan lancar dan menyifatkan semua projek yang dijalankan merupakan projek masa jangka panjang.
"Kakitangan kami yang menguruskan padang telah mula melakukan kerja-kerja mereka di stadium baharu.
"Saya ingin memaklumkan kepada semua penyokong bahawa semua projek kami adalah projek jangka masa panjang dan ia bukan setakat ini sahaja tetapi banyak lagi perancangan kelab yang tersusun,” titah baginda.
Baginda turut menyatakan kesyukuran atas kejayaan JDT menjuarai Piala Sumbangsih 2018 dan Juara Liga Super Malaysia untuk kali kelima berturut-turut selain menjuarai empat piala melalui skuad Akademi JDT pada tahun ini yang menjadikan keseluruhannya, JDT berjaya menjuarai 15 piala dari skuad senior dan skuad junior sejak dari tahun 2013.
"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada seluruh penyokong dan saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua pemain dan kakitangan yang berada dalam kelab kerana telah bekerja keras bagi memastikan matlamat dan visi kelab sentiasa tercapai,” titah Tunku Mahkota Johor lagi. - Bernama