Polemik RoS jadi badan bebas

Iklan
ros

MINGGU lalu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membangkitkan isu kegagalan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) mendaftarkan dua parti baharu berlainan diasaskan mereka, Parti Pejuang Tanah Airku (Pejuang) dan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).

Isu itu bukan sahaja menimbulkan perdebatan umum, bahkan dijadikan modal pemimpin UMNO, Datuk Dr Puad Zarkashi menempelak Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Iklan
Iklan

Memandangkan RoS di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN), Puad mendakwa kerajaan Perikatan Nasional (PN) dikepalai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), menggunakan kuasa menyekat dua parti serpihan yang kini berada di blok pembangkang itu.

Lebih menarik, Syed Saddiq melalui afidavit difailkan di mahkamah berhubung isu pendaftaran Muda, mendakwa Hamzah memujuknya supaya menyokong kerajaan jika mahu pendaftaran parti itu diluluskan.

Iklan

Hakikat kesukaran parti-parti politik baharu didaftarkan menjelang pilihan raya bukanlah perkara baru berlaku.

Bermula dengan Keadilan (kini dikenali Parti Keadilan Rakyat) yang terpaksa mengambil alih parti Ikatan Masyarakat Islam Malaysia (Ikatan) untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-10 (PRU10) pada 1999.

Iklan

Konflik sama, secara ironinya, turut dihadapi Bersatu sewaktu parti itu menyertai blok pembangkang, Pakatan Harapan (PH) bagi mendepani PRU14 pada tahun 2018.

"Pada awalnya, tujuan RoS diletakkan di bawah seliaan KDN adalah bagi memastikan setiap pertubuhan atau parti politik yang didaftarkan menjalani aktiviti sah dan tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

"Dari segi idealisme, langkah itu bagus tetapi dari sudut politik semasa, ia memberi persepsi negatif bahawa RoS seolah-olah sudah menjadi alat politik,” kata penganalisis politik daripada Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi.

Awang Azman

Di sebalik pandangan negatif terhadap RoS susulan isu kes pendaftaran Pejuang dan Muda, Awang Azman berpandangan jabatan itu tidak perlu dijadikan sebuah badan bebas seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Namun, KDN harus memastikan aspek ketelusan, integriti tinggi dan tadbir urus baik dalam jabatan itu sentiasa terpelihara kerana rakyat menilai setiap keputusan dibuat kerajaan,” kata beliau.

Bagaimanapun, pandangan berbeza dikemukakan salah seorang pengasas bersama Muda, Mutalib Uthman Abdul Rahman yang menegaskan RoS wajib menjadi sebuah badan bebas bagi memastikan hak rakyat menyuburkan amalan demokrasi tidak dihalang.

Jelas beliau, Muda kini sedang mencabar keputusan RoS di mahkamah memandangkan representasi parti itu sudah memenuhi semua keperluan pendaftaran parti politik mengikut akta jabatan itu sendiri.

"Keputusan sama ada Muda dapat meneruskan tindakan undang-undang bagi isu pendaftaran parti akan diketahui pada 4 Februari hadapan.

"Kami jelas mahukan Muda didaftarkan. Kami tidak bercadang untuk masuk atau lompat ke parti lain.

"Kami juga mengkaji opsyen memakai logo parti lain termasuk logo blok pembangkang sekiranya usaha kami terus dinafikan,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Pada saat polemik pendaftaran Pejuang dan Muda dikatakan menjejaskan kerajaan PN, sebuah agensi penyelidikan politik tanah air, O2 Research Malaysia sebaliknya mengemukakan teori menarik.

Berdasarkan hasil satu kaji selidik membabitkan 1,509 responden, ketua penyelidiknya, Anis Sina mendedahkan kehadiran Pejuang dan Muda dalam blok pembangkang sebenarnya lebih cenderung memecahkan undi daripada blok itu sendiri berbanding undi PN.

"Berdasarkan soal selidik dibuat, majoriti responden yang lebih tertarik mengundi Pejuang dan Muda adalah terdiri segmen pengundi daripada PH sendiri.

"Dari segi peratusan pula, Muda boleh menarik undi blok pembangkang sehingga 35 peratus manakala Pejuang mampu meraih sehingga 22 peratus jika berlaku pertembungan tiga penjuru.

"Hasil kajian ini menunjukkan kehadiran Muda dan Pejuang lebih memberi manfaat kepada kerajaan PN pada PRU15,” katanya.