SHAH ALAM - Global Organization of Parliamentarians Against Corruption (GOPAC) menyokong penuh usaha Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub untuk membanteras rasuah di negara ini.
Ahli Lembaga Pengarahnya, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus tertarik dengan usaha tersebut dan menaruh keyakinan usaha sedemikian mampu mengurangkan gejala rasuah malah mampu untuk menghapuskannya dan kesediaan akhbar Sinar Harian menubuhkan ‘Sinar Rasuah Busters’ adalah satu usaha murni untuk membanteras aktiviti rasuah serta penyelewengan di negara ini yang wajar disokong semua pihak.
Menurutnya, peringatan yang berterusan menerusi pendidikan mengenai bahayanya rantaian gejala rasuah perlu dimulakan di peringkat awal usia kanak-kanak agar tidak diwarisi oleh generasi akan datang.
Selain itu, katanya, setiap warganegara juga mesti menghindari daripada perbuatan rasuah dengan tidak memberi, tidak menerima dan tidak menjadi perantara atau pemudah cara kepada perbuatan jijik tersebut.
"Seterusnya ketiga, mereka yang mengetahui, menyedari, disogok, diminta rasuah perlulah melaporkan perbuatan rasuah atau perbuatan yang dianggap rasuah kepada pihak berkuasa"without fear or favour”.
"Kita harus mengetepikan budaya 'jangan jaga tepi kain orang' dan 'jangan masukkan pasir ke dalam periuk nasi orang lain'. Sepatutnya kita berpegang teguh kepada ajaran Islam bagi menolak kemungkaran menggunakan tangan, lisan atau sekurang-kurangnya dengan hati.
"Sudah menjadi tanggungjawab kita untuk menyelamatkan saudara seagama. Sesungguhnya pemberi, penerima dan perantara rasuah hukumnya adalah neraka," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Hulu Langat bimbang negara akan terus gagal membendung rasuah jika indeks persepsi rasuah terus mencatatkan 'score' turun naik seperti permainan 'yoyo'.
Menurutnya, Malaysia adalah negara tertua selepas Singapura yang mempunyai entiti pencegahan rasuah dan mempunyai tekad politik yang kukuh kerana memiliki undang-undang antirasuah menyeluruh.
"Malah kita ada pelan strategi antirasuah negara sejak tahun 2004 iaitu Pelan Integriti Nasional, GTP/NKRA-Basmi Rasuah dan pada tahun 2018, Pelan Antirasuah Nasional diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai antara pelan yang terbaik.
"Namun demikian, permainan politik yang tidak berkesudahan, berasaskan keuntungan peribadi dan kroni menyebabkan kita sukar menangani masalah rasuah," katanya.
Lebih teruk lagi kata Hasanuddin, apabila strategi yang terkandung dalam pelan antirasuah berkenaan tidak didukung sepenuhnya oleh semua pihak termasuk pihak kerajaan.
"Ini jelas apabila negara gagal untuk meluluskan beberapa undang-undang antaranya IPCMC, dana politik, pemisahan antara peguam negara dan pendakwa raya, akta perolehan kerajaan, rundingan terus dan sebagainya," katanya.
GOPAC adalah sebuah organisasi bukan kerajaan yang terdiri daripada ahli Parlimen dari seluruh dunia, bekerja sama untuk memerangi rasuah, menguatkan pemerintahan yang baik dan menegakkan kedaulatan undang-undang.