SUNGAI PETANI - Pihak pengurusan Kuil Sri Subramaniya Swami Devasthanam tidak akan melaksanakan perarakan tahun ini bagi memastikan tiada pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) seperti yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Setiausaha kuil, Nanthagobalan Munusamy berkata, kuil berkenaan yang menerima kunjungan mencecah 300,000 orang setiap tahun namun hanya membenarkan antara 15 penganut yang mempunyai kebenaran dalam satu-satu masa untuk menunaikan upacara sembahyang kali ini.
"Pihak kuil menetapkan beberapa syarat ketat bermula 17 Januari lalu iaitu upacara menaikkan bendera (ubayam) yang kita hanya benarkan 20 orang sahaja sebagai tanda perayaan bermula, sebelum kemuncak sambutan tiga hari bermula 27 hingga 29 Januari.
"Bagaimanapun, setiap hari hingga hari ini kita hanya membenarkan seramai 15 orang sahaja menunaikan sembahyang pada satu masa selain ahli jawatankuasa.
"Pintu utama ditutup selepas jam 5 petang dan hanya mereka yang mempunyai pas khas sahaja dibenarkan masuk dengan kawalan anggota Rela dan pasukan keselamatan,"katanya.
Beliau ditemui ketika menerima kunjungan Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah yang membuat pemantauan di kuil terbabit kira-kira jam 10 malam pada Rabu.
Jelasnya, bagi penganut yang ingin menunaikan nazar, mereka hanya dibenarkan berada di pintu pagar utama sementara petugas akan membantu membawa susu ke kawasan kuil untuk upacara seterusnya.
"Bagi mengelakkan penularan Covid-19 di kawasan kuil, kami akan pastikan mereka memakai pelitup muka, larangan ke atas kanak-kanak dan warga emas melebihi 70 tahun dan penjarakan fizikal dipatuhi," katanya.
Sebelum ini, Kuil Sri Subramaniya Swami Devasthanam menjadi tumpuan penganut Hindu seluruh negara merayakan Thaipusam sepanjang tiga hari sambutan dianjurkan termasuk menunaikan nazar serta perarakan kavadi secara besar-besaran.
ARTIKEL BERKAITAN: SOP dipatuhi, tiada sambutan Thaipusam di Sungai Petani